Mesyuarat JDS Kluster Pahang Barat di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands

Semalam 27 Ogos 2025 Cie berkesempatan menghadiri satu mesyuarat penting iaitu Mesyuarat Jabatan Dietetik & Sajian (JDS) Kluster Pahang Barat yang berlangsung di Unit Sajian, Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands. Kluster Pahang Barat ni terdiri dari Hospital Kuala Lipis selaku lead cluster, Hospital Raub dan Hospital Sultanah Hajah Kalsom (HOSHKA).


Tarikh mesyuarat JDS Kluster Pahang Barat di Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Cameron Highlands


Mesyuarat sebegini menjadi medan perbincangan yang cukup bermakna berkaitan program besar yang bakal dianjurkan iaitu Karnival Pemakanan pada bulan Oktober nanti. 

Pada awal tahun hari tu kami dah bermesyuarat di Hospital Kuala Lipis, kali ni tukar suasana sikit pergi mesyuarat di tempat sejuk. Lama jugak Cie tak ke Cameron Highlands walaupun dekat je perjalanan 2 jam. Tak larat nak mengadap jem kalau ke Cameron Highlands lagi-lagi hari cuti. Semalam pun hari bekerja ramai jugak orang.

Perjalanan ke Cameron dari Lipis melalui Sungai Koyan. Biasa la jalan hutan kiri kanan, dengan keadaan jalan tak rata nak terlelap pun tak lena. Cie duduk di belakang dan bos Cie duduk di hadapan. Kami pergi menaiki kenderaan jabatan.

Selfie penulis blog di dalam kenderaan ketika perjalanan ke Cameron Highlands

Bila dah nak sampai ke Cameron pandangan mata melihat kawasan penanaman sayur di lereng bukit sampai ke puncak bukit penuh ditanam dengan sayuran. Kenderaan membawa sayuran juga agak sibuk di awal pagi ke sana sini dengan membawa bakul berisi sayuran. Mungkin untuk dihantar ke kedai-kedai sekitar Cameron.

Kenderaan membawa sayur-sayuran segar dari Cameron Highlands


Lokasi Mesyuarat: Hospital Sultanah Hajah Kalsom

Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HOSHKA) merupakan satu-satunya hospital kerajaan di Cameron Highlands yang sentiasa menjadi tumpuan pelbagai program kesihatan. Terletak di kawasan tanah tinggi yang sejuk dan nyaman, perjalanan ke sini sahaja sudah memberi pengalaman berbeza berbanding menghadiri mesyuarat di lokasi lain.

Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Cameron Highlands


Kesejukan udara Cameron Highlands menambahkan lagi keselesaan sepanjang sesi berlangsung. Walaupun mesyuarat dijalankan di dalam bangunan unit sajian hospital, suasana persekitaran luar yang penuh dengan kehijauan dan bunga-bungaan menjadikan mood peserta mesyuarat lebih tenang dan segar.

Rasa macam seronok juga kerja di HOSHKA suasana tenang dan sejuk je udara. Takdela panas terik macam di Lipis.


Perbincangan Utama: Karnival Pemakanan Oktober

Antara agenda utama mesyuarat ini adalah perancangan Karnival Pemakanan yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober nanti di Hospital Kuala Lipis. Karnival ini dirancang sebagai platform besar-besaran untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan memilih makanan sihat, amalan gaya hidup seimbang, serta kepelbagaian makanan tempatan yang boleh disesuaikan dengan konsep pemakanan sihat.

Perbincangan merangkumi:

1. Aktiviti dan booth pameran

Pihak hospital serta agensi berkaitan akan membuka gerai interaktif, antaranya pameran diet, demonstrasi memasak sihat, serta sesi konsultasi pemakanan.

2. Games dan kuiz

Kami ada merancang beberapa games dan kuiz pada hari berkenaan. Games yang simple sahaja untuk pengunjung yang datang dan hadiah akan diberikan kepada yang menyertai.

3. Ceramah dan forum kesihatan

Pegawai Dietetik akan memberikan talk berkenaan pemakanan sihat kepada kakitangan hospital mahupun orang awam yang hadir.

4. Gimik perasmian

Yang ni pun kami bincangkan gimik yang akan dibuat untuk perasmian karnival nanti. 
Perbincangan berjalan lancar dengan setiap dari kami memberi pandangan serta idea bernas untuk menjayakan acara tersebut. Apa yang menarik, mesyuarat ini bukan sekadar perbincangan formal, tetapi penuh dengan semangat kerjasama dan keinginan bersama untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.


Sajian Mesyuarat: Sarapan & Makan Tengah Hari

Sarapan pagi dimulakan dengan kuetiau goreng udang yang dimasak dengan begitu enak cukup rasa, tidak terlalu berminyak dan udangnya segar. Hidangan ini dilengkapi dengan pelbagai pilihan kuih-muih seperti kuih bakar, kaswi, cream puff dan kek gula hangus. Gabungan makanan berat dan kuih ringan ini memberi tenaga yang cukup untuk memulakan sesi perbincangan.

Kuetiau goreng udang sebagai hidangan sarapan

Hidangan kuih-muih seperti kuih bakar, kaswi, cream puff, kek sarang semut


Bagi makan tengah hari pula, peserta mesyuarat dijamu dengan hidangan nasi kandar. Pilihan lauk yang disediakan amat memikat selera ayam goreng berempah, gulai kambing, udang goreng, telur masin, kobis goreng. Suasana makan tengah hari bertambah mesra apabila peserta dapat berkumpul dan berbual santai sambil menikmati hidangan yang sedap.

Hidangan nasi kandar dengan lauk ayam goreng berempah, kari daging, udang goreng, telur masin, kobis goreng

Pinggan nasi kandar Dengan ayam goreng berempah, udang goreng, telur masin, kobis goreng, gulai kambing

Mungkin ada yang tertanya, mengapa perlu diceritakan tentang makanan dalam sebuah mesyuarat rasmi? Jawapannya mudah makanan bukan sekadar untuk mengisi perut perut, tetapi juga medium untuk mengeratkan hubungan, menceriakan suasana dan menjadi simbol hospitaliti pihak tuan rumah.


Pengalaman & Suasana Mesyuarat

Secara peribadi, menghadiri mesyuarat kali ini memberi pengalaman yang cukup berharga. Bukan sahaja dapat bertukar pandangan dengan rakan-rakan sejawatan dari hospital lain, tetapi juga dapat merasai sendiri suasana unik di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom.

Kami begitu teruja berbincang tentang karnival pemakanan kerana ini merupakan kali pertama kami menganjurkan karnival pemakanan peringkat kluster Pahang Barat. Sebabnya kami tak ramai pun hanya ada 5 orang pegawai bahagian pengurusan. Selebihnya staf di bahagian operasi.

Ahli mesyuarat JDS Kluster Pahang Barat di Unit Sajian Hospital Cameron Highlands


Selain itu, suasana mesyuarat yang berlangsung dalam keadaan santai tetapi produktif membuatkan setiap peserta dapat berkongsi idea dengan lebih terbuka. Tiada rasa kekok, sebaliknya semua memberi kerjasama sepenuh hati. Walaupun mereka semua staf yang baru. Cie je paling lama dah hampir 17 tahun.


Harapan untuk Karnival Pemakanan

Selepas menghadiri mesyuarat ini, harapan Cie dan team ialah agar karnival pemakanan yang bakal diadakan nanti benar-benar memberi manfaat besar kepada staf hospital dan orang awam. Di era moden ini, pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, obesiti dan hipertensi semakin meningkat akibat pola pemakanan yang tidak sihat. Justeru, usaha mengadakan karnival yang memberi kesedaran tentang pemakanan adalah sangat tepat pada masanya.

Cie juga berharap ramai yang dapat hadir dan mengambil peluang menyertai program ini. Selain mendapat ilmu, pengunjung pasti dapat merasai pelbagai aktiviti menarik yang telah dirancang.

Mesyuarat JDS Kluster Pahang Barat di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands bukan sekadar mesyuarat biasa. Ia menjadi platform penting untuk merancang sebuah karnival pemakanan yang bakal memberi impak positif kepada masyarakat. Ditambah pula dengan layanan mesra pihak tuan rumah serta sajian yang enak, pengalaman ini pastinya akan dikenang.

Semoga segala perancangan yang telah dibincangkan dapat dilaksanakan dengan lancar pada Oktober nanti. Cie tak sabar nak adakan karnival ni sebab tak pernah buat di peringkat kluster Pahang Barat dan tak pernah menganjurkan karnival sebegini. Dalam masa yang sama sedikit berdebar tapi takpela semoga semuanya berjalan lancar nanti.


Catat Ulasan

13 Ulasan

  1. Alhamdulillah..Seronok juga sekali skala tukat angin tmpt meeting =)

    BalasPadam
  2. Seronok tu dapat mesyuarat di luar kawasan dan lokasinya menarik. Seronok dapat pergi CH walaupun urusan kerja. Menu-menu yang dihidangkan pun sedap.

    BalasPadam
  3. sekali sekala tukar angin di tempat sejuk.. ^^

    BalasPadam
  4. mesti seronok staff yg kerja kat HOSHKA tu. cuaca sejuk, pemandangan pun lawa kat situ hehe

    BalasPadam
  5. Seronoknya CH dekat jer, jaraknya macam JB ke Melaka ni. Tak tersengguk ke peserta mesyuarat makan nasi kandar, tambah² cuaca sejuk tu. Lena diulit intan jadinya nanti.

    BalasPadam
  6. Seronoknya CH dekat jer, jaraknya macam JB ke Melaka ni. Tak tersengguk ke peserta mesyuarat makan nasi kandar, tambah² cuaca sejuk tu. Lena diulit intan jadinya nanti.

    BalasPadam
  7. rindu plak nak gi CH ni...cuma tak sanggup hadap jem kalau time weekend/cuti sek

    BalasPadam
  8. Tahniah..perkongsian yang menarik..kita dapat membayangkan suasana di Cameron tu..
    Sudah dua kali Etuza ke Cameron Highland ni..tempat tinggi dan bersalji

    BalasPadam
  9. Memang tak lapar lah waktu mesyuarat tu...jarang betul dapat menu nasi kandar nie

    BalasPadam
  10. Banyak input yg bermanfaat tu...bagus sesekalibtukar angin kan..asyik meeting tempat biasa je..kali ni kat tempat lain plak...

    BalasPadam
  11. Bagus tu mesyuarat di tempat lain.. tukar angin. Lagi² di tempat peranginan.

    BalasPadam
  12. Seandainya saga dapat hadir di sini, sukaaaa sangat. Sebab bisa belajar banyak bagaimana menyajikan suatu makanan yg tidak hanya sedap, tapi juga sehat. Penting itu

    Sebagai orang yg sedang belajar terus utk menjaga pola makan, saya selalu tertarik kalo ada event ttg makanan sehat. 👍👍👍.

    Di usia sekarang ini, kita makan bukan hanya memuaskan napsu, tp juga harus lihat kandungannya, baik atau tidak utk tubuh

    BalasPadam

Terima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.