Malam tadi, mata Cie begitu berat untuk pejam. Fikiran Cie bercelaru, dada terasa sempit dan setiap kali cuba memejam mata, wajah seorang anak gadis yang Cie tidak kenali secara peribadi muncul di minda.
Namanya Zara Qairina Mahathir, anak berusia 13 tahun, yang kini menjadi sebutan seluruh Malaysia. Cie mengikuti kisahnya melalui berita dan media sosial, namun malam tadi cerita tentang arwah memenuhi hampir setiap sudut paparan di telefon Cie.
Sebagai seorang ibu, kisah ini mengetuk hati Cie dengan begitu kuat. Arwah Zara sebaya dengan anak Cie. Sebaya kakak Raisha baru berusia 13 tahun.
Melihat gambar-gambarnya yang tersenyum manis, Cie membayangkan anak sendiri di tempatnya. Sungguh, Cie tidak dapat bayangkan bagaimana jika Cie yang berada di tempat ibu arwah, berdepan dengan kehilangan tragis yang tiba-tiba. Adakah Cie mampu sesabar itu? Adakah Cie mampu berdiri teguh di hadapan kamera media, sambil hati dirobek rasa kehilangan?
Malam yang Panjang dan Sepi
Cie cuba tidur awal malam tadi, tetapi hati ini terasa gelisah. Timeline media sosial dipenuhi berita tentang siasatan, tuntutan keadilan dan tanda pagar #JusticeForZara. Setiap perkongsian yang Cie baca membuatkan Cie rasa seolah-olah berada di sisi keluarganya, menunggu berita dari hospital atau melihat jasad yang telah terbujur kaku.
Tidak semua orang dapat memahami kesan psikologi mendalam yang dirasai oleh keluarga mangsa. Kehilangan seorang anak bukan sekadar kehilangan insan tersayang, tetapi juga runtuhnya sebahagian jiwa seorang ibu. Cie tahu, setiap ibu yang membaca kisah ini akan secara automatik membayangkan wajah anak mereka sendiri.
Mengikuti Perkembangan Siasatan
Kisah tragis Zara bermula pertengahan Julai 2025. Beliau ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolahnya di Papar, Sabah, dipercayai jatuh dari tingkat tiga. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital keesokan harinya. Namun, keadaan tubuhnya yang dilihat keluarga menimbulkan tanda tanya.
Ibu arwah membuat laporan polis dan desakan orang ramai akhirnya membawa kepada penggalian semula kubur pada 9 Ogos untuk tujuan bedah siasat. Perdana Menteri sendiri memberi jaminan bahawa kes ini akan disiasat secara telus. Rakyat Malaysia bersatu hati menuntut keadilan untuk seorang anak kecil yang mungkin menjadi mangsa buli atau penderaan.
Luka Buli yang Tidak Tertutup
Buli bukan sekadar ejekan atau usikan. Ia adalah pembunuh senyap yang meninggalkan luka tidak kelihatan di luar, tetapi menghancurkan jiwa di dalam. Dalam kes Zara, kebenaran masih dicari, tetapi satu perkara jelas kita perlu lebih serius menangani isu buli, sama ada di sekolah, asrama atau dunia maya.
Sebagai ibu, Cie bimbang. Anak-anak kita menghabiskan masa berjam-jam di sekolah dan kita meletakkan kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menjaga keselamatan mereka. Tetapi kisah seperti ini mengingatkan Cie bahawa keselamatan anak-anak tidak boleh diambil mudah. Lagi-lagi jika tinggal di asrama. Jauh dengan keluarga hanya mengharapkan anak-anak menjaga diri.
Lagu Tribute Untuk Zara
Antara yang membuat hati Cie sebak adalah pagi tadi apabila Hot FM memainkan lagu “Justife For Zara Qairina”. Balik rehat tengahari tadi Cie mencari lirik lagu tersebut.
Cie mendengar lagu yang ditulis oleh Norsalim Ali sangat menyentuh hati, menggambarkan perjalanan seorang anak yang meninggalkan dunia ini dalam keadaan tragis:
Justice For Zara Qairina (lirik)
Usia mu baru tiga belas. Mimpi masih berlari di padang luas. Tapi malam itu semuanya kelam. Bulan jadi saksi. Kau tak pernah pulang. Kata mereka, kau jatuh sendiri. Tapi benarkah itu realiti? Bila tengkuk mu bengkok, tubuh mu mati dan tapak kaki kiri kau berdarah sunyi. Tiada jeritan, tiada cahaya, kau rebah dalam gelap gelita. Siapa yang tahu apa yang terjadi? Siapa yang kejam? Siapa yang salah kini. Justice for Zara Qairina bukan sekadar nama di pusara. Tangisan ibu jadi nyala. Kita bangkit demi kebenaran nyata. Justice for Zara Qairina, di langit Sabah yang saksi luka. Buli itu pembunuhan senyap! Hari ini suara kami takkan senyap. Kau bukan cerita untuk dilupa. Kau jeritan buat semua yang lena. Di asrama, tempat sepatutnya selamat, kini jadi pentas duka yang gelap. Kaki kanan lurus. Kiri terlipat. Kepala terkulai. Tubuh mu terlentang! MANA CIKGU? MANA WARDEN? Mana suara bila Zara ditinggalkan? Kami juga anak-anak sekolah! Kami bukan boneka yang diperah! Jangan sembunyi kebenaran! Kami tuntut satu pembelaaaaan! Justice for Zara Qairina bukan sekadar nama di pusara. Tangisan ibu jadi nyala. Kita bangkit demi kebenaran nyata. Justice for Zara Qairina di langit Sabah yang saksi luka. Buli itu pembunuhan senyap! Hari ini suara kami takkan senyap! Dan bila malam Kembali sunyi, ingatlah wajah yang takkan Kembali. Jangan satu lagi Zara terjadi. Kita tuntut hak untuk hidup! Bukan mati! BUKAN MATIIIIIII! Justice for Zara Qairina. Justice for Zara Qairina. Bukan sekadar nama di pusara. Tangisan ibu jadi nyala. Kita bangkit demi kebenaran nyata. Justice for Zara Qairina, Justice for Zara Qairina. Di langit Sabah yang saksi luka. Buli itu pembunuhan senyap! Hari ini suara kami takkan senyap!
Mendengar lagu ini sambil melihat gambar arwah membuatkan hati Cie remuk. Cie tidak dapat menahan air mata, apatah lagi membayangkan perasaan ibu arwah yang melahirkan, membesarkan dan kini merelakan pemergian anaknya.
Doa dan Harapan
Buat arwah Zara Qairina, walaupun kita tidak pernah bertemu, seluruh negara kini mengenali nama mu. Kepergianmu bukanlah sia-sia. Kamu telah menyentuh hati jutaan orang, menyatukan suara rakyat dan membuka mata semua pihak tentang betapa pentingnya keselamatan pelajar.
Ada sesuatu yang Allah nak tegur kita semua melalui arwah. Allah nak jentik hati kita semua melalui arwah. Allah nak uji kita semua melalui arwah.
Buat ibu arwah, Cie mendoakan agar Allah memberikan kekuatan luar biasa. Hanya insan terpilih diuji dengan kehilangan seperti ini. Semoga setiap air mata yang tumpah menjadi saksi cinta seorang ibu dan menjadi penghapus dosa.
Buat semua ibu bapa di luar sana, mari kita lebih peka terhadap anak-anak kita. Tanya tentang hari mereka di sekolah. Perhatikan perubahan sikap. Jangan anggap diam mereka sebagai tanda semuanya baik-baik saja.
Keadilan Itu Perlu Ditegakkan
Kita masih menunggu hasil siasatan. Apa pun keputusan, kita berharap ia berpaksikan kebenaran. Jika ada yang bersalah, mereka mesti dihadapkan ke muka pengadilan. Perlu dihukum setimpal dengan apa yang dilakukan.
Arwah Zara telah pergi, tetapi kisahnya akan terus hidup dalam ingatan kita. Semoga suaranya yang mungkin terhenti di dunia ini akan terus bergema di hati kita semua.
Kepada pembaca yang membaca blog Cie ini, Cie mohon jangan biarkan kisah Zara menjadi sekadar berita sensasi. Jadikan ia titik mula untuk kita lebih menjaga anak-anak, rakan dan komuniti kita daripada bahaya buli.
Kita mungkin tidak dapat menyelamatkan Zara, tetapi kita boleh berjuang agar tiada lagi mangsa lain pada masa hadapan.
Alfatihah buat bidadari syurga Allahyarhamah Zara Qairina. Semoga rohmu tenang di sana wahai anak.
2 Ulasan
Subahanallah..sebagai manusia normal..kematian Zara memukul semua hati, tidak percaya sukar terima dan merutun hati, air mata berderai..kasihan sungguh tidak terbela anak 13 ini..Satu2nya pengubat hati adalah pulangkan kepadaNya. Dia telah ambil nyawa insan ini setelah tiada yang peduli tiada yang simpati, telah lama hatinya terguris hingga berdarah ..takdir ajal Zara begitulah hakikat Allah tunjukkan betapa manusia sesama ada yang hati dihasut kejahatan tanpa sedari..Alfatihah
BalasPadamDisiasat kini, jasad dah terkubur, mencari kebenaran, terlambat sudah, sabah terpukul, semua terhambat. Allah sayangi Zara, Allah beri dia Syurga. Yang mendera jiwa hidup dalam keadaan jiwa raganya kacau..sudah terlambat. Allah akan beri balasan..Allah perancang yang terbaik.
BalasPadamTerima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.