Perintah Kawalan Pergerakan Seluruh Malaysia - Covid-19 - BLOG ROZIAH MUHAMMAD NOR

Thursday 19 March 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Seluruh Malaysia - Covid-19

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN | COVID-19

Perintah Kawalan Pergerakan Seluruh Malaysia


KERAJAAN MALAYSIA telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020 (Rabu) sehingga 31 Mac 2020 (Selasa) sebagai langkah bagi pencegahan penularan wabak COVID-19 dan dikuatkuasakan seluruh Malaysia.

Perintah tersebut dibuat selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah Kawalan Pergerakan meliputi;

  1. Larangan menyeluruh terhadap pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis pernigaan hendaklah ditutup KECUALI pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.
  2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (self quarantine) selama 14 hari.
  3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.
  4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-univerisit.
  5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institusi kemahiran di seluruh negara
  6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
Tindakan yang diambil Kerajaan ini mungkin menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk semua rakyat menjalani kehidupan seharian. Tetapi tindakan ini perlu diambil oleh Kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang boleh meragut nyawa rakyat negara ini.

Semoga dengan tindakan yang diambil ini dapat mengurangkan penularan wabak dan segera pulih dalam masa terdekat. Kerjasama dari rakyat Malaysia amat penting untuk membantu usaha kerajaan memulihkan keadaan.

No comments:

Post a Comment