Aneka Sup di Mikha Sup Station: Menu Lunch Paling Mudah

Hari cuti hujung minggu ni memang nak berehat je malas nak masak untuk lunch. Bila tak berapa sihat (selsema) ni malas nak masak. Tadi pun dah terlelap sekejap sebelum Zohor. Kemaruk tidur dari hari yang tak cukup tidur sebab kembung, lepas tu asyik nak tidur je. Mentang la hari cuti kan. Bantai tidur berehat secukupnya.

Kembung dah ok, selsema pulak menjengah. Selsema yang cair tu tau-tau mengalir dah dari hidung. Tu tak selesa nak memasak. Makan luar jela senang. Asyik nak bersin je. Ditambah pulak malas nak ke dapur tu maka nya makan di luar saja lah.

Kalau sebut pasal makan tengah hari, ramai yang akan terbayang nasi campur, lauk bergoreng atau set makanan segera. Tapi hari ni Cie rasa nak makan sup. Sup ni bukan saja sedap, tapi juga berkuah, ringan dan sesuai dimakan bila-bila masa. Orang kata, kalau tak tahu nak makan apa, order sup pun dah cukup.

Lepas Zohor terus ajak suami lunch di Mikha Sup Station. Nama pun dah jelas speciality kedai ni memang sup. Tapi jangan ingat sup ayam atau sup daging saja. Kat sini ada macam-macam variasi termasuk nasi air, mi sup, sampai kerabu maggi yang masam-masam dengan pelbagai bahan, aneka jenis sup dari sup daging hingga la sup gear box, sup tulang dan macam-macam.

Menu makanan Mikha Sup Station di dinding restoran

Ditambah pula dengan side dish macam keropok lekor goreng memang jadi port makan santai yang lain daripada biasa.

Teringat pulak dulu masa belajar di Politeknik Johor Bharu Pasir Gudang, ada 1 kedai kat terminal bas Pasir Gudang tu menjual pelbagai jenis aneka sup. Cie dan kawan-kawan rumah sewa selalu la makan di situ. Rindu pulak. Sekarang taktau la ada lagi ke tak kedai tu.

Pengalaman Makan Di Mikha Sup Station Kuala Lipis

Ni bukan la kali pertama kami makan kat situ. Dah banyak kali dah. Sebelum ni pun dah beberapa kali share pasal makan di Mikha Sup Station ni. Kalau rasa nak makan sup memang ke situ lah kami datang.

Datang hujung minggu terutama hari Ahad memang tak ramai orang. Kami datang pulak selepas Zohor memang lengang. Maybe jugak hari cuti masing-masing masak sendiri di rumah. Cie je tak berapa rajin nak masak hari ni.

Masa kami sampai ada pasangan berdua di luar kedai dan dalam kedai ada pasangan suami isteri dan anak-anak.

Ada meja panjang untuk keluarga, meja empat segi untuk 4 orang dan meja kecil untuk yang datang seorang. Vibe dia lebih kepada santai dan biasa je, tak terlalu fancy tapi buat orang rasa selesa nak duduk lama.

Meja dan kerusi juga disediakan di luar kedai bagi pelanggan yang nak lebih santai menikmati hidangan dengan udara segar di luar kedai.

Dalam kedai pun tak terlalu panas ada kipas yang mencukupi disediakan. Kami memang pilih duduk di meja yang berdekatan dengan kipas. 

Menu Pilihan Kami

Nasi Putih, Sup Ayam Campur Daging, Telur Dadar

Husband order menu ni. Mulanya husband order nasi ayam. Tak buat dah katanya. Dulu ada menu nasi ayam.

Kuah supnya jelas rasa rempah ratus, ada rasa bahan tumisan dan sedikit manis dari ayam. Dagingnya sedikit liat, ayamnya lembut. Telur dadar pula rangup di luar, lembut di dalam jadi pelengkap sempurna.

Nasi putih dengan sup ayam campur daging dan telur dadar

Diberikan juga hirisan timun dan sambal. Penambah sedap rasa sup apabila dimakan bersama nasi dan juga bahan sampingan lain. Di atas meja juga ada disediakan serbuk cili, cili jeruk dan sambal kalau nak rasa lebih umphhhh.

Sambal, cili jeruk dan serbuk cili sebagai pelengkap hidangan sup di Mikha Sup Station



Nasi Air Sup Campur

Cie pulak memilih untuk makan nasi air sup campur. Bila selsema ni rasa nak makan nasi air pulak. Ada daging, ayam, perut, tetel dan lain-lain. Ada juga ikan bilis goreng.

Bubur nasi dimasukkan dalam mangkuk besar, dituang dengan kuah sup pekat. Ditabur bersama daun sup dan bawang goreng. Tekstur bubur nasi yang lembut bila bercampur dengan kuah panas buatkan setiap suapan rasa nyaman. Jangan lupa perah limau nipis untuk rasa masam-masam sup tu.

Nasi air bersama sup campur Mikha Sup Station

Bagi Cie, nasi air ni sesuai untuk mereka yang nak makan ringan tapi tetap kenyang.

Kerabu Maggi

Pilihan kakak Raisha kerabu maggi. Kerabu maggi kat Mikha Sup Station memang tak boleh pandang sebelah mata. Rasa dia tak pedas, masam, masin, semua cukup. Maggi dimasak sekadar lembut, tak terlalu kembang, jadi bila digaul dengan bahan lain, sayur segar dan sos memang menyelerakan.

Kerabu maggi masam pedas dihidang segar

Kakak Raisha memang suka order kerabu maggi kalau makan di situ.

Mi Sup Ayam

Adik Rania pulak memilih menu mi sup ayam. Setiap kali datang makan di situ itulah menu pilihannya. Ada sedikit kangkung, taugeh, daun bawang dan bawang goreng.

Semangkuk mi sup ayam dengan hirisan ayam dan sup panas

Macam biasa sayuran tu ibu la yang tukang kutip. Boleh je nak order mi sup taknak sayur tapi rasa rugi pulak nanti bayar harga sama. Better ibu kutip je sayur tu.

Keropok Lekor Goreng

Kalau datang makan di Mikha Sup ni memang wajib order keropok lekor goreng. Keropoknya garing di luar dan lembut di dalam. Bergabung pulak dengan cicahan sos thai yang sedap.

Keropok lekor goreng rangup panas


Pilihan Minuman Kami Sekeluarga

Makan tengahari dengan cuaca panas tak lengkap tanpa minuman sejuk. Kat sini, ada pelbagai pilihan minuman. Kami memilih:

  • Air botol gas Sarsi & Soda – minuman retro yang susah jumpa sekarang. Rasa nostalgia buat orang dewasa teringat zaman kecil. Pilihan Cie air soda, pilihan adik Rania air sarsi.
  • Ice Blended Honey Dew – minuman moden yang manis dan pekat. Ada jelly, chocolate rice dan whip cream. Sesuai untuk mereka yang suka minum sesuatu yang ‘heavy’ selepas makan. Kakak Raisha yang order air ni.
  • Limau Ais – minuman paling selamat. Masam segar, sesuai untuk neutral rasa makanan berkuah yang menjadi pilihan husband.
Minuman botol soda dan sarsi di Mikha Sup Station

Ice blended honeydew sejuk menyegarkan


Kelebihan Mikha Sup Station Berbanding Kedai Lain

Apa beza kedai ni dengan kedai sup biasa? 

Variasi menu

Kebanyakan kedai hanya ada sup ayam atau sup daging tapi kat sini ada perut, tetel, gear box, tulang dan banyak lagi. Ada juga menu lain seperti nasi air, kerabu maggi, mi sup dan side dish lain.

Rasa kuah sup

Kuah mereka seimbang, tak berminyak, tak terlalu kosong. Rempah cukup, rasa ayam dan daging jelas.

Harga

Harga kat sini masih berpatutan dan mampu milik.

Menu beserta harga Mikha Sup Station


Sup-Sup Power di Mikha Sup Station

Selepas cuba pelbagai menu, memang Cie boleh kata Mikha Sup Station ni bukan sekadar kedai sup biasa. Dari nasi putih dengan sup ayam campur daging, nasi air yang pekat, kerabu maggi masam, sampai mi sup ringan semuanya ada identiti tersendiri.

Harga berpatutan, servis laju, kedai bersih. Suasana santai buatkan tempat ni sesuai untuk family, kawan atau datang sorang.

Kalau anda peminat sup, Mikha Sup Station memang tempat wajib singgah. Sup sedap, perut kenyang, mood pun tenang.

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Wahhh, macam² pilihan sup, ya, Cie. Mujurlah ada restoran yang menepati citarasa Cie sekeluarga di saat malas memasak dan kurang sihat. Semoga lekas baik selesema Cie tu nanti.

    BalasPadam
  2. Kalau tak sihat badan mmg sesuai sangatlah makan bersup Cie...
    Seronok kedai belah² sana, keropok lekor sentiasa ada kan

    BalasPadam
  3. Banyaknya lauk pauk nasi air tu.

    BalasPadam

Terima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.