Malam tadi, sekitar jam 7 malam lebih, kami menerima berita yang cukup menyentuh hati. Wan tiri Cie, yang Cie ziarah minggu lepas sakit di rumah Mak Ngah di Bentong, telah menghembuskan nafas terakhir.
Arwah merupakan mak tiri kepada arwah mak Cie. Walaupun hubungan kami bukan melalui darah daging, tetapi ikatan kekeluargaan itu tetap terjalin sejak dahulu. Arwah Wan Minah ni berkahwin dengan aki Cie selepas bercerai dengan wan (mak kepada arwah mak) Cie.
Raya tahun 2023 masa tu ada berjumpa wan di rumah makcik Cie. Masa tu berborak dan bergurau dengan wan serta sempat juga merakam gambar kenangan. Wan pun dah lupa siapa kami. Bila kenalkan diri baru la ingat anak siapa. Masa tu nama anak sendiri pun dia dah tak ingat. Usia dah 88 memang banyak dah perkara yang dilupai.
Selepas arwah wan (mak kepada arwah mak) meninggal tahun 90an dulu, wan Minah ni jela satu-satunya wan yang masih ada. Wan belah ayah pun dah takde. Jadinya takdela kami merasa kasih sayang seorang nenek.
Perjalanan Awal Pagi ke Bentong
Awal pagi tadi, Cie bersama dua orang kakak, anak-anak Cie dan anak saudara bergerak ke Bentong. Kami menaiki kereta yang dipandu anak saudara.
Kebetulan suami ada program kerja di Mentakab jadinya tak dapat join sekali menziarah pengebumian wan Minah buat kali terakhir. Minggu lepas kami dah ziarah sewaktu wan sakit.
Perjalanan dari rumah Cie ke Bentong mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih je.
Kami terus ke Surau Kampung Benus berdekatan rumah makcik. Urusan memandikan, kafankan dan solat semua dibuat di surau berkenaan. Sewaktu kami sampai makcik dan sepupu sedang mengkafankan jenazah.
Melihat Wajah Terakhir
Sebelum solat jenazah, kami diberi peluang untuk melihat wajah arwah buat kali terakhir. Wajahnya kelihatan tenang, seolah-olah sedang tidur nyenyak. Saat itu, Cie sedar bahawa perpisahan ini adalah perpisahan dunia yang tiada lagi peluang untuk bertemu di alam fana.
Tidak lama kemudian, imam memimpin solat jenazah. Semua yang hadir mengambil tempat.
Urusan Pengebumian
Segala urusan pengebumian berjalan dengan lancar. Sebelum jam 12 tengahari, jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Barak, Benus, Bentong. Arwah Wan Minah ni orang Tempoyang Lipis. Disebabkan meninggal di Bentong terus dikebumikan di situ.
Bertemu Sanak Saudara
Selepas pengebumian, kami duduk berbual bersama beberapa saudara mara yang lama tidak berjumpa di rumah Mak Ngah. Sekejap saja kami di situ dan minta izin untuk beredar ke rumah kakak di Bandar Bentong pula.
Hikmah Sebalik Pemergian
Setiap kali ada kematian dalam keluarga, Cie rasa ia menjadi satu peringatan besar buat diri sendiri. Pemergian nenek tiri ini mengingatkan Cie bahawa hubungan kekeluargaan, walaupun tidak sedarah, tetap penting untuk dijaga. Tidak kira sama ada hubungan itu dekat atau jauh, kasih sayang dan hormat-menghormati perlu sentiasa ada.
Setiap pertemuan dan perpisahan adalah ketentuan Allah. Walaupun rasa kehilangan itu berat, keluarga redha kerana arwah pergi dalam keadaan yang baik, diiringi doa dari ramai insan yang menyayanginya.
Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya, melapangkan kuburnya dan menempatkannya di syurga yang penuh nikmat.
Buat diri Cie dan semua yang membaca, marilah kita hargai setiap insan yang ada dalam hidup kita. Kerana kita tidak tahu bila masanya kita atau mereka akan dipanggil pulang.
Al-Fatihah buat Allahyarhamah Wan Minah.
6 Ulasan
setiap yang hidup pasti akan pergi mengadap penciptaNya. Al fatihah
BalasPadamInnalilahi wainnailaihi rojiun . Ikut berdukacita kak dengan meninggal nya Wan Minah.
BalasPadamAgree, silaturrahmi wajib selalu dijaga. Saudara langsung atau bukan, tetap saja menjaga hubungan itu dianjurkan dalam Islam.apalahlgi jika dia orang terdekat dengan kita. Di tengah gempuran teknologi skr, anak2 biasanya tak terbiasa untuk kenal dengan saudaranya.
Karena itu saya dan suami juga pastikan mereka selalu diajak jika kami ingin mengunjungi saudara siapapun. Supaya anak2 juga kenal. Dan membiasakan mereka utk menjaga dan menghormati para saudaranya
Inalillahi wainna illaihi rojiun..Tiap yang bernyawa pasti mati..
BalasPadamInnalillahiwainna ilaihirojiuuunnn.. Salam takziah, Cie. Semoga Alla swt mengampunkan segala dosa Wan, Amiiinnn YRA. Sebak pulak akak.
BalasPadamInnalilahiwainnailayhirojiuun.
BalasPadamTakziah Cie.
Moga roh Nek Tiri Cie ditempatkan di kalangan roh2 para solihin. Aamiin.
Done linkkan blog..https://madey09.blogspot.com/ link http blog saya ya
BalasPadamTerima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.