31 Ogos datang lagi!
Bila tiba bulan Ogos, mesti suasana Merdeka mula terasa. Jalur Gemilang mula berkibar di sana sini, lagu-lagu patriotik kedengaran dan warna merah, putih, biru serta kuning mula menghiasi pelbagai tempat.
Tahun ini, kita menyambut Hari Kebangsaan yang ke-69 dengan tema rasmi
Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati
Merdeka bagi Cie bukan sekadar tentang sambutan, perarakan atau mengibarkan bendera. Merdeka juga tentang kehidupan yang kita nikmati hari ini, boleh bekerja, mencari rezeki, keluar berjalan-jalan, makan makanan kegemaran, bercuti bersama keluarga dan menjalani kehidupan seharian dengan aman.
Kadang-kadang benda yang nampak biasa itulah sebenarnya sangat bernilai.
Bila tengok Jalur Gemilang berkibar, teringat juga betapa panjangnya perjalanan negara kita untuk sampai ke tahap hari ini. Berbeza bangsa, agama, budaya dan adat, tetapi kita tetap berkongsi satu negara yang sama.
Malaysia mungkin tak sempurna. Ada saja perkara yang kita rungutkan setiap hari. Harga barang, trafik, kerja, cuaca panas dan macam-macam.
Tapi dalam banyak-banyak rungutan itu, jangan sampai kita lupa untuk menghargai nikmat hidup dalam sebuah negara yang aman.
Merdeka juga mengajar kita untuk menghargai pengorbanan generasi terdahulu. Apa yang kita nikmati hari ini bukan datang dengan mudah.
Jadi sempena 31 Ogos 2026, marilah kita sama-sama kibarkan Jalur Gemilang, hargai negara kita dan paling penting, terus jaga keharmonian antara satu sama lain.
Tak perlu tunggu sambutan besar untuk tunjuk rasa sayang kepada Malaysia. Buat yang kecil-kecil pun dah cukup.
- Jaga kebersihan.
- Hormati orang lain.
- Bantu apabila diperlukan.
- Jaga keamanan.
- Dan jalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat sebaik mungkin.
Selamat Hari Merdeka!
Semoga Malaysia terus aman, makmur dan menjadi tempat yang baik untuk kita dan generasi akan datang.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!


2 Ulasan
yes, it's 31st august today! salam hari kemerdekaan utk kita semua!
BalasPadamSalam Hari Kemerdekaan buat kita semua, semoga negara kita terus makmur, aman damai sejahtera serta dijauhi dari segala musibah.
BalasPadamTerima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.