Satu lagi kemudahan jalan raya baharu di Kuala Lipis yang sudah dibuka kepada pengguna. Kali ini Cie berpeluang merasai sendiri pengalaman melalui laluan baharu Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau sebelum ini dikenali sebagai Central Spine Road (CSR), di kawasan Persimpangan Kuala Lipis, Kampung Bapong.
Pada 13 November 2026, laluan baharu LTU Seksyen 3J telah dibuka kepada pengguna jalan raya. Pembukaan laluan ini pastinya menjadi berita baik bukan sahaja kepada penduduk sekitar Kuala Lipis, malah kepada pengguna dari luar daerah yang menggunakan laluan ini untuk menuju ke destinasi masing-masing.
Pengalaman Melalui Jalan Baharu Kampung Bapong ke Kechau
Kebetulan Cie ada urusan untuk pulang ke rumah kakak. Jadi, Cie mengambil kesempatan untuk mencuba laluan baharu ini. Cie masuk melalui jalan Kampung Bapong dan meneruskan perjalanan sebelum keluar di Persimpangan Kechau.
Ini merupakan pengalaman pertama Cie menggunakan laluan tersebut selepas ia dibuka kepada orang ramai.
Seronok juga dapat mencuba sendiri jalan yang sebelum ini hanya dapat dilihat ketika masih dalam pembinaan. Sekarang sudah boleh digunakan, jadi dapatlah Cie merasai sendiri laluan baharu ini dalam perjalanan pulang ke rumah kakak dalam 10 minit perjalanan je dari persimpangan Bapong ke Kechau.
Projek LTU Seksyen 3J Kuala Lipis
Untuk pengetahuan korang, LTU Seksyen 3J menghubungkan Kampung Seberang Jelai ke Kampung Relong di Kuala Lipis, Pahang. Jajaran utamanya sepanjang 6.95 kilometer dengan pembinaan jalan berkembar empat lorong.
Projek ini turut melibatkan pembinaan lima buah jambatan, dua struktur pembetung kotak kenderaan serta pemasangan lampu jalan.
Selain laluan utama tersebut, laluan penghubung Kechau sepanjang 3.55 kilometer turut disediakan bagi memudahkan pergerakan pengguna jalan raya.
Kemudahan Baharu Untuk Pengguna Ke Kelantan
Bagi Cie, pembukaan laluan ini sememangnya memberikan kemudahan kepada pengguna jalan raya, khususnya penduduk sekitar Kuala Lipis. Namun, manfaatnya bukan terhad kepada penduduk tempatan sahaja.
Pengguna yang ingin menuju ke Kelantan juga boleh memanfaatkan laluan ini sebagai sebahagian daripada perjalanan mereka melalui kawasan Kuala Lipis. Ini pastinya satu perkembangan yang baik kerana lebih banyak pilihan laluan disediakan untuk memudahkan perjalanan antara Pahang dan Kelantan.
Apabila kemudahan jalan raya semakin baik, perjalanan ke sesuatu destinasi juga diharapkan menjadi lebih lancar dan selesa.
Satu Lagi Laluan Baharu Untuk Dicuba
Sekurang-kurangnya sekarang Cie sudah ada pengalaman sendiri melalui jalan baharu LTU/CSR Persimpangan Kuala Lipis di Kampung Bapong. Walaupun perjalanan kali ini sekadar pulang ke rumah kakak melalui Kechau, dapat juga Cie mencuba kemudahan jalan raya yang baharu dibuka ini.
Kepada korang yang selalu menggunakan laluan Kuala Lipis, terutamanya yang dalam perjalanan menuju ke Kelantan, bolehlah ambil maklum tentang pembukaan laluan ini.
Apa pun, pandulah dengan berhati-hati dan patuhi papan tanda serta arahan lalu lintas.







0 Ulasan
Terima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.