RESEPI SAMBAL HITAM | PAHANG
Sambal Hitam ni antara masakan yang popular bukan sahaja di Negeri Pahang bahkan di seluruh Malaysia dan luar negara. Tapi nak dapatkan sambal hitam yang original agak sukar sebab kebanyakkan orang meniaga akan menambah bahan yang lain supaya dapat menjimatkan kos bahan untuk membuat sambal hitam pahang.
Kos untuk membuat sambal hitam juga agak mahal jika menggunakan bahan yang original seperti ikan bilis berkualiti tinggi, belimbing rebus juga agak mahal dan sukar untuk diperolehi. Pembuatan belimbing rebus juga agak rumit di mana ianya perlu direbus dalam tempoh yang agak lama memakan masa lebih kurang sehari untuk dapatkan kualiti yang sepatutnya.
Cie nak kongsikan resepi asli sambal hitam kuala lipis yang hanya menggunakan beberapa bahan sahaja.
BAHAN-BAHAN SAMBAL HITAM PAHANG
Bahan-bahan untuk SAMBAL HITAM ASLI PAHANG hanya 5 bahan sahaja iaitu ikan bilis, bawang besar, belimbing rebus, cili padi dan minyak masak. Belimbing rebus tu belimbing buluh perlu direbus dengan garam kasar lebih kurang seharian kena rebus sampai hitam. Bawang besar tu hiris je. Kalau nak tumbuk pun boleh je ikut citarasa masing-masing.
CARA MEMBUAT SAMBAL HITAM PAHANG
Mula-mula kena tumbuk ikan bilis sehingga hancur. Kalau nak guna dry blender pun boleh je. Sekarang Cie dah guna dry blender je lagi cepat dan mudah
Lepas ikan bilis dah hancur tu kita masukkan belimbing rebus tumbuk juga sehingga hancur.
Cili padi tu kita blend je sampai hancur. Kalau nak tumbuk pun boleh je
Panaskan minyak masak kemudian goreng bawang besar sehingga layu
Kemudian masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili padi masak
Bila cili dan bawang dah agak garing masukkan ikan bilis tumbuk dan goreng sehingga hitam dan masak. Api kena perlahankan supaya tidak hangus
Ini la hasilnya selepas dah lebih kurang hampir sejam kot
Sambal hitam ni boleh dimakan dengan nasi, nasi lemak, roti, roti canai, bubur nasi dan banyak lagi la.
Senang je nak buat. Ada setengah orang letak kicap la nak bagi hitam. Ada juga letak gula dan garam. Kalau betul-betul asli tak letak bahan-bahan lain. Sebenarnya sambal ni dah secara asli masin sebab ikan bilis dah masin dan belimbing rebus tu sendiri dah masin sebab masa rebus belimbing tu kita rebus dengan garam sekali.
Korang boleh cuba resepi SAMBAL HITAM ASLI PAHANG ni ye.