Beras merupakan makanan ruji utama bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Dalam pelbagai jenis beras yang terdapat di pasaran, beras basmathi semakin menjadi pilihan ramai kerana manfaat kesihatannya, aroma yang wangi dan teksturnya yang tidak melekit.
Jenama seperti Faiza, Jasmine, Floral dan Bird Of Paradise menjadi antara nama yang sering ditemui di pasar raya tempatan. Cie nak kongsi lebih lanjut tentang beras basmathi dari asal usul, ciri-ciri istimewa, manfaat kesihatan, jenis-jenis beras di pasaran, hinggalah kepada cara memasak dan petua penyediaannya.
Apa Itu Beras Basmathi?
Beras basmathi ialah sejenis beras berbiji panjang yang berasal dari kawasan kaki bukit Himalaya, terutamanya dari India dan Pakistan. Nama “basmathi” berasal dari bahasa Hindi yang bermaksud “wangi” sesuai dengan sifatnya yang mengeluarkan aroma harum sebaik sahaja dimasak.
Bijirin beras basmathi berbentuk panjang dan langsing. Apabila dimasak dengan betul, ia mengembang hampir dua kali ganda panjang asal dan tidak melekit seperti beras biasa. Oleh itu ia amat sesuai digunakan dalam masakan seperti nasi briyani, nasi minyak, nasi mandy dan pelbagai sajian lain.
Ciri-ciri Istimewa Beras Basmathi
1. Bijirin Panjang dan Langsing
Beras basmathi dikenali kerana saiznya yang panjang dan bentuk yang cantik apabila dimasak.
2. Aroma Wangi Semula Jadi
Beras ini mempunyai bau semula jadi yang unik, tanpa perlu tambahan daun pandan atau pewangi makanan.
3. Tekstur Tidak Melekit
Bijirin yang dimasak tidak melekat antara satu sama lain, menjadikannya pilihan ideal untuk masakan berempah dan berkuah.
4. Indeks Glisemik Rendah
Beras basmathi memiliki indeks glisemik yang lebih rendah daripada beras putih biasa, menjadikannya lebih baik untuk pengawalan gula dalam darah.
Manfaat Kesihatan Beras Basmathi
Selain dari rasa dan rupa yang menyelerakan, beras basmathi juga menawarkan pelbagai manfaat kesihatan:
1. Mesra Pesakit Diabetes
Indeks glisemik yang lebih rendah membantu mengawal lonjakan gula dalam darah selepas makan. Ini menjadikannya lebih sesuai untuk pesakit diabetes.
2. Kaya dengan Serat (terutama beras basmathi perang)
Serat membantu sistem penghadaman, melancarkan pencernaan dan mengurangkan rasa lapar.
3. Rendah Lemak dan Kolesterol
Tidak mengandungi lemak tepu atau kolesterol, baik untuk kesihatan jantung.
4. Membantu Pengurusan Berat Badan
Memberi rasa kenyang lebih lama, menjadikannya pilihan bijak bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.
Jenis-jenis Beras Basmathi di Pasaran
Berikut ialah antara jenama beras basmathi yang popular dan mudah didapati di Malaysia:
1. Faiza Basmathi (Taj Mahal)
Jenama tempatan yang terkenal dengan kualiti terjamin dan harga berpatutan. Sesuai untuk masakan seperti nasi briyani dan nasi minyak. Mudah didapati di pasar raya seluruh Malaysia.
2. Jasmine Basmathi (Parboiled)
Antara jenama paling mudah diakses oleh pengguna. Jasmine menawarkan beras basmathi jenis parboiled yang lebih tahan patah, senang dimasak dan hasilnya kekal berasing. Pilihan ideal untuk pengguna harian.
3. Floral Basmathi
Jenama yang semakin dikenali di pasaran Malaysia. Hadir dengan aroma wangi semula jadi dan bijirin panjang. Sesuai untuk mereka yang mencari alternatif selain jenama popular.
4. Bird of Paradise Basmathi
Dikenali dengan kemasan pek yang menarik dan kualiti beras yang baik. Teksturnya ringan dan tidak melekat, sesuai untuk pelbagai jenis hidangan seperti nasi arab atau nasi hujan panas.
Tips Memasak Beras Basmathi
Untuk mendapatkan hasil terbaik, ikuti beberapa petua penting ini:
Rendam Beras Sebelum Masak
Rendam selama 30 minit hingga 1 jam. Ini membantu melembutkan beras dan mempercepatkan proses memasak.
Gunakan Nisbah Air yang Sesuai
Umumnya, nisbah beras:air ialah 1:1.5 atau 1:2, bergantung pada jenama dan jenis parboiled atau tidak.
Masak Dengan Kaedah Serapan atau Kukus
Anda boleh menggunakan periuk nasi, kaedah kukus, atau masak atas dapur. Pastikan air tidak berlebihan untuk elakkan nasi lembik.
Tambahkan Sedikit Minyak atau Mentega
Menambah minyak sapi atau mentega akan memberi aroma dan membantu nasi lebih berasing.
Elakkan Kacau Semasa Masak
Jangan kacau nasi semasa dalam proses masak kerana ia boleh merosakkan bijirin dan menyebabkan nasi patah atau hancur.
Resipi Ringkas: Nasi Marjerin
Bahan-bahan:
2 cawan beras basmathi (direndam 30-60 minit)
3 biji bawang putih blend
1/2 biji bawang besar blend
3 cawan air
3 sudu besar marjerin
1 batang kayu manis
3 biji bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 helai daun pandan
3 helai bay leaf (jika ada)
Garam secukup rasa
Pewarna kuning
Cara-cara:
- Panaskan marjerin dan tumis rempah-rempah bersama daun pandan serta bay leaf.
- Masukkan bawang blend dan tumiskan sehingga kekuningan.
- Masukkan beras yang telah ditoskan ke dalam periuk dan masukkan bahan tumisan. Gaul seketika.
- Tambahkan air dan garam. Masak seperti biasa menggunakan periuk nasi.
- Bila nasi masak, titiskan pewarna dan kacau perlahan dengan garfu untuk kekalkan bijirin berasing.
- Sedia dihidang bersama ayam masak merah, kari kambing atau lauk kegemaran anda.
- Boleh ditabur bawang goreng, daun sup atau daun ketumbar atas nasi.
Beras Wajib Ada Di Rumah
Cie memang suka masak nasi berperisa sama ada nasi marjerin, nasi briyani, nasi arab atau nasi putih menggunakan beras basmathi. Cie takde guna spesifik brand. Selalunya ikut jenama apa yang ada peket 1-2kg tu je. Pernah juga beli yang 5kg memang stok lama la bertahan.
Selalunya sebulan sekali atau bila-bila masa teringin Cie akan masak. Sebab tu wajib ada stok kat rumah. Yang terkini Cie beli brand Jasmine Parboiled. Yang ni memang sedap dan lembut. Adakala Cie campur sikit dengan berasa biasa.
Pelengkap Hidangan
Beras basmathi bukan sahaja menjadi pelengkap hidangan istimewa, tetapi juga pilihan yang lebih sihat berbanding beras putih biasa. Jenama seperti Faiza, Jasmine, Floral, dan Bird Of Paradise menawarkan pelbagai pilihan mengikut bajet dan citarasa anda. Dengan teknik memasak yang betul, beras basmathi akan menjadikan setiap suapan lebih enak, wangi dan memikat selera.
Sama ada untuk majlis, kenduri atau hidangan keluarga di hujung minggu, beras basmathi adalah pilihan yang bijak dan menyihatkan. Cubalah hari ini dan rasai sendiri perbezaannya!
2 Ulasan
Makin remaja purba ni, kami berdua di rumah guna beras Basmathi. Tapi sebab jarang makan nasi, sekilo tahan sebulan.
BalasPadamMakan beras basmathi ni macam tak puas, sekejap je lapar balik... hihihi... nasi minyak, nasi beriani mmg cantik tekstur & presentation kalau guna beras ni
BalasPadamTerima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.