Entri ini Cie buat untuk menyertai segmen “Kenapa Saya Ada Blog” anjuran Kak Mulan. Bila nampak tajuk segmen ni, terus rasa macam nak throwback perjalanan Cie dalam dunia blogging yang dah agak lama juga.
Dah berbelas tahun rupanya Cie bermain dengan blog. Banyak kali tukar alamat, macam-macam fasa dilalui dan ada juga blog lama yang sekarang dah tak dapat Cie akses. Bila cuba ingat balik, memang banyak kenangan!
Bermula Dengan Blog Pada Tahun 2009
Cie mula mengenali Blogspot sekitar tahun 2009. Masa tu Cie berblog bersama seorang kawan yang merupakan adik angkat Cie. Kami berkongsi satu blog dan sama-sama menulis. Kandungan merepek je blog tu. Zaman hingusan waktu tu.
Sekarang nama blog tu Cie dah lupa. Emel pun lupa, password pun lupa. Adik angkat Cie pun dah lupa semuanya. Akhirnya blog tu hilang begitu sahaja tanpa dapat kami akses semula.
Cie ingat-ingat lupa URL blog tu bermula dengan kamibuldak dan belakangnya Cie dah tak ingat. Pernah juga dulu Cie berjaya jumpa semula blog tu melalui Google, tetapi tak simpan alamatnya. Sekarang bila cuba cari semula, tak ingat dah.
Antara entri yang Cie masih ingat ialah cerita pergi jalan-jalan di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi. Rasanya tajuk entri tersebut Cie tulis menggunakan bahasa Itali. Ingat cerita dalam entri, tetapi nama blog sendiri dah lupa. Kelakar juga bila difikirkan semula.
Kembali Berblog Pada Tahun 2011
Pada tahun 2011, Cie mula rasa nak aktif semula berblog. Cie pun mula membina blog yang menjadi asas kepada blog Cie sekarang. Cuma pada awalnya, alamat blog bukanlah roziahmuhammadnor.com.
Antara alamat blog yang pernah Cie gunakan ialah demok_love.blogspot.com dan syafiyahluv.blogspot.com.
Pada tahun 2013 pula, Cie pernah ada blog lain, syafiyahvitashoppe.blogspot.com. Anak buah Cie buatkan template blog. Terima kasih kepada anak buah Cie yang sudi membantu mencantikkan blog masa tu. Maklumlah, Cie bukanlah pandai sangat bab coding dan design template zaman dulu kala.
Zaman Aktif Bisnes Shaklee
Bila Cie mula aktif dengan bisnes Shaklee, blog juga menjadi salah satu medium untuk Cie berkongsi tentang produk, bisnes dan pelbagai cerita berkaitan Shaklee.
Masa inilah Cie mula menggunakan domain dengan nama sendiri, iaitu roziahmuhammadnor.com. Tujuannya untuk branding. Sifu bisnes pernah berpesan supaya semua platform media sosial yang kita ada menggunakan nama yang sama agar orang mudah mengenali dan mencari kita.
Jadi Cie ikutlah saranan tersebut. Dari situlah blog Cie mula menggunakan domain nama sendiri yang masih digunakan sehingga hari ini.
Selepas Cie berhenti menjalankan bisnes Shaklee, semua artikel berkaitan produk dan cerita tentang Shaklee telah Cie delete. Cie mahu blog ini bergerak dengan kandungan yang lebih dekat dengan kehidupan sekarang.
Perjalanan Blog Yang Ada Pasang Surut
Sejak kembali berblog pada tahun 2011, ikut rekod Cie buat blog baru pada Jun 2011. Bulan Cie bertunang dengan Faiz. Entri Mac 2011 tu Cie buat backdated je.
Aktiviti blogging Cie sebenarnya tidaklah konsisten setiap tahun. Ada tahun Cie rajin menulis, tetapi ada juga tahun yang hanya beberapa entri sahaja diterbitkan.
Blog ini memang melalui fasa aktif dan kurang aktif mengikut keadaan, kesibukan dan komitmen Cie pada waktu tu.
Kembali Aktif Mulai Disember 2023
Sehinggalah Disember 2023, Cie mengambil keputusan untuk kembali aktif menulis dengan lebih konsisten. Bila dah tak buat bisnes Shaklee, Cie ada lebih banyak masa untuk menulis di blog.
Sejak itu, Cie mula menghasilkan lebih daripada 30 entri sebulan. Nampaknya minat menulis yang pernah tenggelam timbul dahulu kembali membara.
Dulu Cie sangat aktif di Facebook dan Instagram. Tetapi sejak dah jarang muncul di sana, Cie banyak berkongsi cerita di blog. Blog menjadi tempat Cie menulis apa sahaja yang ingin dikongsikan tanpa terikat dengan satu topik tertentu.
Kenapa Cie Masih Berblog?
Kenapa Cie masih berblog sampai hari ini? Sebab Cie suka menulis, suka berkongsi dan suka menyimpan kenangan.
Blog ini ibarat diari digital Cie. Di sinilah Cie berkongsi cerita tentang makanan, resipi, travel, shopping, lifestyle, keluarga, aktiviti harian dan macam-macam lagi. Tak terikat dengan satu topik sahaja kerana Cie memang suka menulis pelbagai perkara.
Ada cerita yang mungkin suatu hari nanti Cie sendiri dah lupa, tetapi apabila dibaca semula melalui tulisan lama, kenangan itu boleh kembali segar dalam ingatan.
Perjalanan blogging Cie bermula pada tahun 2009, kembali semula pada tahun 2011, melalui pelbagai fasa sehingga akhirnya kembali aktif pada Disember 2023.
Banyak yang berubah sepanjang tempoh tersebut. Nama blog pernah bertukar, kandungan tulisan juga berubah mengikut fasa kehidupan. Namun, satu perkara yang masih kekal ialah minat Cie untuk menulis.
Semoga blog Cie terus bertahan dan menjadi tempat menyimpan cerita serta kenangan untuk dibaca semula pada masa akan datang.
Terima kasih Kak Mulan kerana mengadakan segmen ini. Secara tak langsung, Cie dapat mengimbau kembali perjalanan lama sebagai blogger yang dah hampir terlupa. Bila menulis semula kisah ini, baru terasa betapa panjangnya perjalanan blog Cie selama ini.


















0 Ulasan
Terima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.