Team Bugatti Divo Johan Keseluruhan Sukan Kental 2026 Hospital Kuala Lipis

Alhamdulillah, akhirnya segala usaha dan penat lelah Team Bugatti Divo sepanjang menyertai Sukan Kental Hospital Kuala Lipis membuahkan hasil yang cukup membanggakan. Bukan satu, tetapi dua kemenangan berjaya kami bawa pulang dalam 1 malam!



Team Bugatti Divo bukan sahaja berjaya dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan, malah turut memenangi anugerah Persembahan Terbaik. Memang satu kenangan manis yang akan kami ingat selepas melalui pelbagai cabaran dan aktiviti sepanjang program ini berlangsung.


Perjalanan Team Bugatti Divo Mengumpul Mata

Sukan Kental bukan sekadar pertandingan biasa. Setiap aktiviti yang disediakan memerlukan kerjasama berpasukan, strategi, ketahanan fizikal dan mental. Ada cabaran yang menguji kekuatan fizikal, ada yang memerlukan kepantasan berfikir dan tidak kurang juga yang menguji kesabaran setiap ahli pasukan.

Sepanjang pertandingan, Team Bugatti Divo menyertai tiga acara utama iaitu Survival Village, Mountain Escape dan Treasure Hunt.

Acara pertama team kami sertai Survival Village yang menguji kemampuan kecerdasan fizikal di kem askar. Banyak cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi. 

Acara kedua ialah Mountain Escape yang berlangsung di Kem Baha, Gunung Stong memberikan cabaran tersendiri kepada setiap ahli pasukan. 

Acara Treasure Hunt pula antara cabaran yang memerlukan kerjasama dan strategi. Setiap checkpoint mempunyai tugasan fizikal serta soalan berkaitan sejarah Malaysia, kemerdekaan dan Rukun Negara. Bukan mudah untuk menyelesaikan semua tugasan dalam masa yang diberikan.

Daripada setiap acara tersebut, kami berjaya mengumpul mata seperti berikut:
  1. Survival Village – 10 mata
  2. Mountain Escape – 3 mata
  3. Treasure Hunt – 10 mata
  4. Persembahan Penutup – 10 mata

Jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpulkan ialah 33 mata. Kutipan mata inilah yang akhirnya meletakkan Team Bugatti Divo di kedudukan pertama. Kiranya mountain escape je team kami kalah. 

Bukan kalah cabaran cuma tak follow syarat utama perlu ada penyertaan wanita. Masa tu mereka hantar penyertaan lelaki sahaja. 


Majlis Makan Malam Penutup Sukan Kental

Selepas selesai semua aktiviti dan cabaran Sukan Kental, tibalah pula acara yang dinanti-nantikan iaitu Majlis Makan Malam Penutup Sukan Kental Hospital Kuala Lipis bertemakan colour block. 

Cie tak ikut tema pun sebabnya terus pakai baju untuk persembahan. Dah malas nak tukar baju lain dah. 

Majlis ini dianjurkan oleh Badan Kebajikan dan Sukan Hospital Kuala Lipis dengan kehadiran ahli badan kebajikan serta ahli keluarga masing-masing. Ia bukan hanya untuk peserta Sukan Kental, malah turut terbuka kepada warga hospital yang ingin hadir bersama keluarga.


Suasana malam tersebut cukup meriah kerana semua dapat berkumpul, menikmati makan malam dan meluangkan masa bersama rakan sekerja serta keluarga dalam suasana santai.

Banyak juga menu yang disediakan. Menu nasi putih, ayam kicap, sayur campur, buah tembikai, air kordial, ada aneka dessert. Cie ambil dessert je. Nasi tu snap gambar pinggan kawan sebelah. 





Untuk ahli badan pun diberikan cenderahati. Cie dapat accessories box warna hitam. 


Antara pengisian pada malam tersebut ialah persembahan daripada semua pasukan. Mata akhir la untuk menentukan team mana yang akan menjadi JUARA. Setiap pasukan berpeluang mempersembahkan kreativiti masing-masing sebagai acara hiburan sebelum sesi pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah.

Acara cabutan bertuah pun ada jugak. Macam biasa la Cie tak pernah dapat la. 


Sketsa Kisah Warong Mak Siti Raih Persembahan Terbaik

Untuk acara persembahan, Team Bugatti Divo memilih untuk menyampaikan sebuah sketsa yang diberi tajuk Kisah Warong Mak Siti.

Pelbagai idea dicurahkan untuk menghasilkan persembahan yang menghiburkan. Kami turut membahagikan watak dan menyusun jalan cerita supaya sketsa yang dipersembahkan dapat difahami serta mencuit hati penonton.

Antara watak yang ditampilkan ialah Mak Siti dan Tapan, dengan jalan cerita berkisar tentang suasana di sebuah warung. Kami rangkumkan semua acara yang kami masuk tu menjadi 1 cerita di Warong Mak Siti. Watak Tapan la yang paling bersahaja dan mampu mencuit hati ramai orang. 





Walaupun persediaan dilakukan dalam masa yang terhad, masing-masing memberikan komitmen untuk memastikan persembahan berjalan lancar. Memasing spontan je melakonkan watak masing-masing. 

Tidak sangka, sketsa Kisah Warong Mak Siti akhirnya berjaya mendapat pengiktirafan sebagai Persembahan Terbaik!


Hadiah yang kami terima ialah sebuah hamper. Walaupun nampak seperti hadiah sampingan, pengiktirafan ini cukup bermakna kerana segala usaha dan idea ahli pasukan mendapat perhatian.


Pengumuman Johan Keseluruhan – Saat Paling Mendebarkan!

Selesai semua persembahan, majlis diteruskan dengan pengumuman keputusan pertandingan. Inilah saat yang paling mendebarkan kerana setiap pasukan pastinya mengharapkan keputusan yang terbaik selepas memberikan komitmen sepanjang Sukan Kental.



Apabila nama Team Bugatti Divo diumumkan sebagai Johan Keseluruhan, memang satu kegembiraan yang sukar digambarkan. Akhirnya, kami berjaya menduduki tempat pertama dengan kutipan sebanyak 33 mata.

Sebagai Johan Keseluruhan, Team Bugatti Divo membawa pulang piala pusingan dan wang tunai. Ditambah pula dengan kemenangan Persembahan Terbaik yang membawa pulang sebuah hamper.


Dua kemenangan dalam satu malam! Memang rezeki Team Bugatti Divo.

Bagi Cie, menyertai Sukan Kental Hospital Kuala Lipis memberikan pengalaman yang cukup bermakna. Sepanjang program ini, kami bukan sahaja berpeluang mencabar kemampuan diri, malah dapat mengenali rakan sepasukan dengan lebih dekat. 

Berbeza jawatan, berbeza jabatan bukan penghalang untuk kami sama-sama mengharungi semua cabaran yang diberikan. Jabatan Cie sendiri kami hantar 2 orang untuk join survival village, 3 orang untuk treasure hunt dan malam persembahan 4 orang dari kami berlima join. 


Daripada aktiviti lasak, cabaran Treasure Hunt, perbincangan strategi hinggalah kepada persediaan sketsa Kisah Warong Mak Siti, semuanya memerlukan kerjasama dan komitmen setiap ahli.

Terima kasih kepada semua ahli Team Bugatti Divo yang telah memberikan tenaga, masa dan idea masing-masing. Tanpa kerjasama semua, pastinya kejayaan ini sukar dicapai.

Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada Badan Kebajikan dan Sukan Hospital Kuala Lipis serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Akhirnya, kami pulang bukan dengan tangan kosong, tetapi membawa pulang piala pusingan, wang tunai dan hamper sebagai kenangan kemenangan.

Team Bugatti Divo – Johan Keseluruhan Sukan Kental 2026 Hospital Kuala Lipis dan Pemenang Persembahan Terbaik!

Satu pengalaman, satu pasukan dan dua kemenangan yang cukup membanggakan. Semoga kenangan ini terus menjadi cerita manis untuk kami kenang pada masa akan datang.


Catat Ulasan

0 Ulasan