15 Tahun Pemergian Ibu Tercinta: Rinduku Tak Pernah Hilang

6/04/2025 08:51:00 PTG
Hari ini 4 Jun 2025 genap 15 tahun mak pergi meninggalkan kami. Mak meninggal pada usia 62 tahun. Mak dilahirkan pada 15 Ogos 1948. Nama mak Cie ialah Zainab binti Mohd Zin. Mak anak kedua dari 3 beradik seibu sebapa. Mak juga ada adik beradik sebapa dan berlainan ibu. 

15 Tahun Pemergian Ibu Tercinta: Rinduku Tak Pernah Hilang

Mak takde sakit terlantar. Semuanya tiba-tiba. Seminggu sebelum meninggal doktor diagnose jantung bengkak. Mak memang ada kencing manis dan darah tinggi lama dah. Banyak ubat mak kena makan. Selalunya mak akan mengelat makan ubat sebab dah tak lalu nak makan ubat terlalu banyak kena makan. Mak dah selalu sangat keluar masuk wad. 2 Jun 2010 admit wad kali terakhir.

3 Jun 2010. Waktu tu Cie kerja di Hospital Jengka. Cie balik dari Jengka sebab mak masuk wad. Cie ambil cuti masa tu. Tu pun selepas settle kerja urgent baru pengarah luluskan cuti. Sampai Hospital Lipis terus ke wad mak tengok katil dah kosong. Tanya kaunter nurse kata mak dah transfer ICU.

Nak gugur jantung bila dengar. Masa tu ICU kat wad lama. Terus ke sana. Mak ok je. Mak kata taktau kenapa pindah ICU. Mak boleh duduk, boleh bercakap macam biasa. ICU Hospital Kuala Lipis tahun 2010 dulu tu bukan la ICU yang proper macam sekarang. Cuma ada 1-2 katil saja seingat Cie. Masa mak kat ICU tu mak sorang je. Takde pesakit lain. Kerusi untuk pelawat pun takde. Cie duduk jela dengan mak atas katil.

Tengok BP mak ok, oksigen mak ok. Hantar report kat kakak yang nurse di Perak. Kakak kata semua ok tu. Kakak pun baru bersiap nak gerak balik juga. Kakak kata kalau drop bagitau dia.

Sebelah petang 3 Jun 2010 tu cucu-cucu mak jenguk kat tingkap je tak boleh masuk. Makan malam sebelah petang tu pun mak sangat berselera makan. Makanan yang terakhir rupanya. Kalau tak silap lauk telur. Mak cakap sedap.

Lepas habis waktu melawat Cie balik rumah. Masa tu mak takde apa-apa perubahan. Cuma nampak la pandangan mak macam dah lain. Tinggal la mak sorang kat wad sebab takde tempat menunggu. Cuma Kak Long Cie ada datang ke hospital dengan abang ipar sebelah malam. Mereka tunggu sampai 5 pagi duduk jela kat kerusi luar wad tu. Lepas tu kakak balik rumah sebab nak siapkan anak dia nak sekolah pulak pagi tu.

Pagi 4 Jun 2010 selepas subuh doktor call suruh waris datang segera ke hospital tapi doktor tak cakap apa-apa cuma suruh datang segera je. Cie sampai hospital dalam 7.00 pagi, sama-sama sampai dengan adik beradik lain. Kakak dari Penang pun sampai juga pagi tu. 

Masuk je ICU tu mak dah ditutup dengan kain. Doktor cakap mak dah takde. Doktor explain dah cuba sedaya upaya selamatkan mak. Tapi mereka gagal. Mak kena serangan jantung subuh tu. Allahuakhbar rasa tak jejak tanah, takde rasa pijak lantai macam di awangan je. Cie dah takde mak. Macam tak percaya. Ayah dah terduduk lepas dapat tau. Betapa ayah sangat-sangat sedih kehilangan isteri tercinta. 

7.45am dalam laporan doktor sahkan mak dah takde. Cardiac arrest secondary to AMI kalau ikut laporan punca kematian. Rasanya mak pergi waktu subuh tu. Ya Allah macam tak percaya tengok sekujur tubuh kaku dah tak bernyawa. Kiranya waktu doktor call suruh datang tu pun mak dah takde rasanya.

Terkilan sangat sebab takde ketika saat-saat akhir mak. Taktau macam mana keadaan mak waktu kena serangan tu. Tapi tu la Allah dah tetapkan begitu siapa kita untuk pertikaikan.

Panjang lagi cerita asal. Tapi Cie singkatkan. Pernah cerita tahun lepas 14 Tahun Kehilangan Mak. Ni pun dah banjir tadi. Nangis sambil taip.

15 Tahun Pemergian Ibu Tercinta: Rinduku Tak Pernah Hilang

Tarikh ini setiap tahun akan buat hati Cie jadi sayu dan teramat rindu sosok seorang ibu. Walaupun masa terus berlalu kehilangan seorang ibu bukan sesuatu yang mudah dilupakan. Tidak mungkin akan dilupakan. Takde depan mata tapi sentiasa ada dihati. Ibu yang lahirkan kita, yang bertarung nyawa untuk lahirkan kita. 

Walaupun sudah 15 tahun, rasa rindu itu masih sama je tak berkurang pun, malah kadang terasa makin kuat. Ada masa, kenangan bersama mak datang tiba-tiba. Tengah duduk-duduk pasti akan terkenang semua kenangan bersama mak.

Ramai yang pernah kehilangan orang tersayang akan faham perasaan ini. Sebab kasih ibu itu terlalu dalam untuk diganti dan terlalu mahal untuk dilupakan. Cie dah kehilangan keduanya sekali. Berganda kesakitan kehilangan orang yang tersayang. 


Kasih Seorang Ibu Yang Tiada Gantinya

Mak bukan sekadar seorang ibu. Dia adalah sahabat, guru kehidupan, tempat mengadu, tempat bermanja. Dalam diam dia mendidik dengan sabar, dalam senyap dia berkorban tanpa mengungkit. 

Cie masih ingat masakan mak yang semua sedap walaupun masak campak-campak je. Mungkin kerana ada cinta yang dia masukkan dalam setiap hidangan. Suaranya masih terngiang-ngiang bila mak kejut bangun sahur. Walaupun masa tu baru pukul 4 lebih pagi tapi selalu cakap dah pukul 5 lebih sebab nak suruh bangun cepat. 


Kehilangan Yang Mengajar Erti Kehidupan

Pemergian mak banyak mengubah cara Cie melihat dunia. Cie belajar untuk lebih menghargai masa, lebih banyak bersabar dan lebih kuat walaupun hati tak sekuat itu. Cie sangat rapat dengan mak. Anak bongsu kan. Memang tidur bawah ketiak mak. Memang rasa sangat kehilangan mak. Rasa patah sebelah sayap. Rasa kosong hidup.

Cie juga mula faham bahawa hidup ini hanya pinjaman saja. Orang yang kita sayang boleh pergi bila-bila masa saja. Allah boleh ambil semula apa yang dipinjamkan. Rakam la seberapa banyak memori bersama sama ada melalui video atau gambar.


Doa Yang Tak Pernah Putus

Walaupun mak dah tak ada di sisi, doa Cie untuk mak tak pernah putus. Setiap kali selepas solat, Cie akan doa agar rohnya tenang, diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. 

Doa anak yang soleh/solehah itu hadiah paling berharga untuk ibu bapa yang telah tiada.
“Ya Allah, ampunilah ibuku, kasihanilah dia seperti mana dia mengasihaniku sewaktu aku kecil.”


Rindu Yang Akan Kekal Selamanya

Rindu ini tidak pernah hilang. Walaupun rindu sangat menyakitkan. Ia hanya berubah bentuk dari air mata menjadi doa, dari kenangan menjadi kekuatan. Cie yakin mak tenang di alam sana. Hilang dah segala kesakitan mak di dunia. Mak sentiasa ada dalam hati Cie.

Terima kasih mak atas segala kasih sayang dan pengorbanan. Semoga kita dipertemukan semula di syurga nanti, InsyaAllah.

Alfatihah

14 ulasan:

  1. Sebak baca coretan Cie ni. Moga Cie terus kuat ya.
    Didoakan juga moga roh mak Cie dirahmati Allah.

    Mak Cie sama umur dengan mak akak, lahir tahun 48. Mak akak sekarang dah terbatas pergerakan, ada masalah tulang belakang dan masalah gastik yang agak teruk.

    BalasPadam
  2. Saya pun tgh rindu arwah Mak saya, tetiba nampak Cie buat post ni. Minggu ni musim org rindu arwah mak masing2 agaknya.

    Agak muda umur arwah mak Cie masa meninggal ya. Moga arwah tenang di alam sana. Dunia ni pun dah tua, lebih baik mereka berehat di sana.

    BalasPadam
  3. Sedihnya Cie kehilangan ibu ketika usia masih muda. Al-Fatihah akak hadiahkan buat ibu Cie, Zainab Mohd Zin.

    BalasPadam
  4. Sebaknya baca, arwah mak cie pergi tanpa menunggu org tersayang di sisi, dia xmo semua sedih agaknya tu, al-fatihah utk arwah mak cie

    BalasPadam
  5. اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا diam tak diam dah 15 tahun berlalu....

    BalasPadam
  6. Al-fatihah....Semoga yang terbaik buat yg telah meninggalkn kita..Amin

    BalasPadam
  7. Ayah Akk dah 24 thn takde tapi boleh kata setiap hari rindu. Pergi masa Akk masih di U, masih muda masa tu. Jiwa rapuh. Manakala arwah mak pula Allah bagi rezeki dapat jaga sampai akhir nafas. Setiap hari doa bagi Allah kumpulkan semula di syurga nanti. Itu je la peluang nak jumpa balik mak ayah, harapnya kan ...
    Al fatihah.

    BalasPadam
  8. Innalillahi wa inna ilaihi rooji'un. Moga rohnya dicucuri Rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman.

    BalasPadam
  9. alfatihah buat aruah bonda, moga ditempatkan dikalangan para solehah

    BalasPadam
  10. Innalillahiwainnaillahirojiun. Rindu yang tak akan ada penghujungnya kan. Tahun ni 7 tahun Allahyarham abah meninggalkan kami, bonda pula nampak sihat tapi perlu bantuan anak2 utk bergerak ke sana sini.

    BalasPadam
  11. Esok birthday akak, tahun lepas dan tahun ni xde call dari mak wish birthday akak...baca luahan Cie ni buat akak nangis..sebak sangat...esok pagi2 insyaallah akak akan ke kubur mak..esok akak dah amik cuti siap2 dah

    BalasPadam
  12. allah sebak tiap kli ana baca perkongsian ttg pemergian ibu sesiapa pun.. moga Cie terus diberi kekuatan & moga arwah ibu Cie terus diberi ketenangan ditempatkan bersama org-org berimann aminnnn

    BalasPadam
  13. Moga ibu dan mama akak ditempatkan di taman taman syurgamu. Moga kita dapat jumpa lagi ibu dan mama kita di sana....insya allah.

    BalasPadam
  14. Sedih baca pengalaman Cie kehilangan emak. I can feel u sbb abe kie pun kehilangan ibu pada hari ketiga raya aidil adha thn 2002. Mujurlah abe kie ada di sisinya pd masa dia menghembuskan nafas terakhir.

    BalasPadam

Terima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.

Dikuasakan oleh Blogger.