Menu Tengahari Paling Win Musim Raya Haji
Setiap kali tiba musim Aidiladha antara perkara paling dinanti-nantikan ialah menerima daging korban. Sama ada pemberian dari masjid, keluarga atau sahabat handai.
Stok daging korban biasanya memang banyak di rumah. Dan waktu inilah kita mula fikir menu daging korban. Teringat masa kecik kat kampung memang banyak betul daging korban.
Semalam Cie pergi rumah kakak di Bentong. Kakak bagi bekal bawak balik daging korban sebekas. Banyak juga kakak Cie bagi. Tengahari tadi Cie potong-potong dan rebus dalam periuk noxxa.
Periuk noxxa Cie tu memang berfungsi waktu raya je. Selain dari tu memang tak guna sangat pun. Cie rebus daging tu dengan HP 45 minit. Memang elok je lembut.
Cie bahagi 3 bekas. Untuk masak sup daging, untuk nasi goreng daging dan sebekas lagi mungkin nak buat daging goreng kicap nanti.
Cie jarang masak daging kat rumah. Memang takde beli sangat daging. Cie tak boleh sangat makan daging nanti melekat kat celah gigi. Lepas tu mula la akan sakit gigi. Tu yang jarang la beli dan masak daging.
Rezeki dapat daging korban ni takkan nak tolak kan. Kiranya macam setahun sekali jela Cie masak daging. Hihihi.
Tips Simpan Daging Korban Yang Betul - KKM
- Jangan masukkan terus daging bersama plastik yang tidak bersih ke peti sejuk.
- Buang bendasing yang terlekat pada daging seperti daun pisang, pasir dan serpihan kayu.
- Asingkan simpanan daging dengan bahan makanan yang boleh dimakan terus (RTE) seperti ais krim supaya mengelakkan pencemaran silang berlaku.
- Letak di bahagian sejuk beku yang suhunya sama atau kurang dari -18c
- Potong daging kepada bahagian lebih kecil dan dimasukkan ke dalam bekas plastik berpenutup mengikut kegunaan biasa di rumah.
- Simpan dalam peti sejuk beku dengan segera sekiranya ingin dimasak kemudian
Hari ni Cie nak kongsikan menu tengahari Cie yang simple tadi tapi sangat menyelerakan, sesuai untuk musim raya haji kalau taktau nak masak apa.
- Sup daging korban dan meatball
- Telur dadar
- Cendawan tiram goreng tepung Bestari
- Sambal kuini
Gabungan lauk ni memang kena sangat dengan selera kami sekeluarga hari ni. Jom Cie share resipi sup daging korban mana tau korang boleh buat jugak. Resipi simple je dan mudah sangat nak buat.
Kenapa Pilih Sup Daging?
Sebenarnya Cie tadi takde idea nak masak menu tengahari. Kalau ikutkan tadi malas masak tapi tu la nak makan kat kedai pun banyak tutup.
Biasa la magic mak-mak ni dari takde idea terus la timbul idea nak masak sup daging. Kebetulan ada meatball dalam freezer so boleh la masak sup daging korban dan meatball.
Lagipun sup daging ialah antara hidangan yang mudah dimasak, berkhasiat dan fleksibel. Sebab dah rebus siap-siap tadi tinggal nak tumis bahan tumisan je.
Yang penting bila guna daging korban kita dapat manfaatkan stok daging yang kita terima.
Resipi Sup Daging Korban Sedap Dan Mudah
Bahan-Bahan Sup Daging Korban
- Daging korban
- 12 biji meatball Cie saja tambah kalau takde pun takpe
- 3 ulas bawang putih dihiris
- 1/2 biji bawang besar dipotong 4
- 1 batang kulit kayu manis
- 2 kuntum bunga lawang
- 4 biji buah pelaga
- 1 sudu besar air limau
- 1 sudu kecil sos ikan
- Akar daun ketumbar
- 6 biji tomato ceri dipotong 2
- Garam dan serbuk perasa secukup rasa
- Daun sup dan bawang goreng untuk hiasan
- Air
- Minyak
Cara-Cara Memasak Sup Daging Korban:
- Rebus daging korban terlebih dahulu hingga empuk. Cie guna periuk noxxa HP 45 minit.
- Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumis bawang putih, bawang besar, akar ketumbar dan rempah 3 sekawan hingga wangi dan kekuningan.
- Masukkan daging yang telah direbus bersama air rebusan. Gaul rata. Biarkan seketika hingga mendidih.
- Masukkan meatball. Biarkan sup mendidih dan meatball masak.
- Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
- Bila semua bahan dah masak, tutup api.
- Masukkan air limau, sos ikan, tomato ceri dan daun sup. Kacau rata.
- Taburkan bawang goreng masa hidang.
Kalau takde bahan seperti yang Cie senarai tu boleh je ubah ikut bahan apa yang ada di rumah. Selalunya Cie masak macam tu la. Tak perlu cukup bahan baru nak masak. Pandai-pandai la olah resipi ikut kesesuaian kita.
Lauk Sampingan Yang Mudah Tapi Padu
Walaupun sup daging dah cukup sedap, Cie suka lengkapkan menu tengahari dengan lauk sampingan supaya lebih meriah dan menambah selera anak-anak dan suami.
Telur Dadar
Cie guna 2 biji telur, sedikit garam, 1 sudu tepung jagung dibancuh bersama sedikit air. Pukul rata telur. Panaskan minyak biar betul-betul panas dan minyak banyak. Masukkan bancuhan telur dan goreng hingga masak dan garing. Telur dadar Cie memang kosong je tanpa bawang sebab nanti anak-anak tak makan.
Cendawan Tiram Goreng Tepung Bestari
Cendawan tiram ni kalau goreng dengan tepung bestari baru la anak-anak makan. Nak buat senang je. Cendawan tiram dicarikkan dan dibersihkan. Gaul dengan tepung Bestari hingga rata. Panaskan minyak kemudian masukkan cendawan yang digaul tepung tadi satu persatu. Goreng hingga garing, angkat dan toskan.
Sambal Kuini
Semalam Kak Ngah bagi buah kuini. Buah ni kalau buat sambal memang bertambah selera makan. Buang kulit buah kuini. Cincang buah kuini dan hiris. Tumbuk 3 biji cili padi bersama sedikit garam hingga hancur. Kemudian gaulkan dengan buah kuini yang dicincang tadi dah siap.
Buah Kuini
Sekarang ni musim buah kuini. Kat rumah kakak Cie ada menjadi jugak la. Buah elok memang tak buruk pun. Rasa pun sedap manis je. Cie buat sambal sikit dan sikit hiris makan macam tu je.
Menu Daging Korban Bukan Sekadar Menu Biasa
Masakan bukan sekadar tentang rasa, tapi juga kenangan. Bila kita masak daging korban ia bukan sekadar lauk, tapi simbol pengorbanan, kasih sayang dan rezeki yang dikongsi bersama.
Semoga resepi sup daging korban ini bermanfaat dan memberi inspirasi kepada anda untuk cuba menu yang ringkas tapi penuh makna.
Alhamdulillah.. Rezeki dapat daging korban...linda pun kalau sempat, esok nak masak sup juga..
BalasPadamAlhamdulillah..terima kasih kongsi resipi :)
BalasPadam