Selepas beberapa minggu menggunakan Vivo X300 Pro, boleh la Cie berkongsi pengalaman Cie. Mungkin pengalaman setiap orang berbeza. Bagi Cie yang pernah menggunakan android awal-awal dulu so takde masalah pun nak bertukar dari Apple ke android semula.
Cie taknak review berdasarkan spesifikasi semata-mata kerana semuanya boleh dicari di laman web rasmi atau YouTube. Apa yang Cie ingin kongsikan ialah pengalaman Cie menggunakan telefon ini dalam kehidupan seharian.
Sebelum ini Cie menggunakan iPhone sejak Disember 2017 hingga Jun 2026. Jadi, apabila membuat keputusan untuk bertukar kepada Vivo X300 Pro, sudah tentu Cie mempunyai sedikit rasa teruja dan pada masa yang sama tertanya-tanya sama ada telefon ini mampu menandingi iphone.
Vivo X300 Pro merupakan telefon flagship daripada Vivo. Bagi yang kurang biasa dengan istilah flagship, ia merujuk kepada model paling premium yang ditawarkan oleh sesebuah jenama.
Biasanya, telefon flagship dilengkapi dengan teknologi terkini, prestasi yang lebih tinggi, kamera yang lebih canggih dan pelbagai ciri terbaik yang menjadi penanda aras bagi jenama tersebut.
Perkara pertama yang Cie perasan ialah prestasinya memang sangat lancar. Membuka aplikasi, bertukar antara aplikasi, melayari internet dan melakukan pelbagai tugasan serentak semuanya berjalan tanpa sebarang masalah.
Sejujurnya, Cie tidak rasa ada jurang prestasi yang besar berbanding iPhone untuk penggunaan harian. Kedua-duanya memberikan pengalaman yang pantas dan responsif.
Kalau ada satu perkara yang benar-benar membuatkan Cie tertarik, sudah tentu kameranya. Cie memang suka mengambil gambar, sama ada untuk dimuat naik ke blog atau sebagai kenangan peribadi.
Hasil gambar daripada Vivo X300 Pro memang memuaskan hati. Warna yang dihasilkan kelihatan hidup, gambar tajam dan prestasinya dalam keadaan cahaya malap juga sangat baik. Cie juga lebih gemar karakter warna yang dihasilkan kerana gambar makanan dan pemandangan kelihatan lebih menyerlah tanpa perlu kena edit.
Bateri pula merupakan antara perkara yang paling utama Cie bertukar ke android. Dengan penggunaan harian seperti WhatsApp, Chrome, media sosial, kamera, baterinya mampu bertahan sehingga ke penghujung hari.
Paling Cie suka ialah teknologi FlashCharge. Apabila bateri hampir habis, Cie tidak perlu menunggu terlalu lama kerana proses pengecasannya memang sangat pantas. Selepas menggunakannya sendiri, Cie mula faham kenapa ramai pengguna Android memuji teknologi pengecasan pantas.
Pada awalnya Cie agak kekok menggunakan OriginOS kerana sudah lama terbiasa dengan iOS. Mencari beberapa tetapan mengambil sedikit masa kerana kedudukannya berbeza.
Namun selepas beberapa hari, Cie mula serasi. Malah Cie semakin menghargai kebebasan Android yang menawarkan lebih banyak pilihan untuk mengubah suai telefon mengikut keperluan dan citarasa sendiri. Theme pun ada banyak yang Cie boleh gunakan.
Sudah tentu tiada telefon yang sempurna. Bagi Cie, Vivo X300 Pro agak besar dan sedikit berat berbanding iphone 14 yang pernah Cie gunakan sebelum ini. Namun selepas beberapa minggu, perkara itu bukan lagi satu masalah kerana Cie sudah biasa menggunakannya.
Setakat ini Cie tidak menyesal memilih Vivo X300 Pro sebagai telefon utama. Malah Cie semakin selesa menggunakannya untuk bekerja, mengambil gambar, melayari internet dan berhubung dengan keluarga serta rakan-rakan.
Walaupun sebelum ini Cie lebih sinonim dengan iPhone, pengalaman menggunakan Vivo X300 Pro membuktikan bahawa telefon flagship Android juga mampu memberikan pengalaman yang setanding, malah ada beberapa perkara yang lebih memuaskan untuk gaya penggunaan Cie.
Ini hanyalah pengalaman awal selepas beberapa minggu penggunaan. Cie bercadang untuk berkongsi lagi pengalaman selepas beberapa bulan, termasuk prestasi bateri dalam jangka panjang, kualiti kamera selepas lebih banyak penggunaan dan sama ada Vivo X300 Pro masih kekal lancar seperti hari pertama.
Nanti ada masa Cie share gambar yang Cie snap menggunakan macro. Tengok kat facebook ramai share gambar yang mereka ambil. Setakat ni Cie ambil gambar biasa je. Yang Cie share dalam blog Cie semuanya gambar diambil menggunakan Vivo ni la sejak 19 Jun. Banyak lagi Cie belum explore tentang kamera Vivo ni.





0 Ulasan
Terima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.