Perginya Seorang Ayah Yang Dikasihi - BLOG ROZIAH MUHAMMAD NOR

Wednesday 16 December 2020

Perginya Seorang Ayah Yang Dikasihi

 

Perginya Seorang Ayah Yang Dikasihi

Hari ni genap 43 hari Ayah pergi mengadap ilahi. Kadang-kadang macam tak percaya je tapi hakikat sebenar memang Allah dah ambil Ayah yang hanya dipinjamkan selama ini. Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Ayah bukan sakit terlantar. Dalam tempoh beberapa hari saja selepas Ayah sakit, Ayah terus dipanggil mengadap Ilahi.

Pada awal bulan Mac 2020 ayah jatuh sakit minor strok. Sempat masuk wad 2 hari saja sebab waktu tu dah mula ada kes Covid jadi doktor taknak Ayah stay lama-lama kat wad. So dah mula on ubat cair darah. Masa tu Ayah belum boleh berjalan dengan biasa. Hanya menggunakan walking frame dan tongkat sahaja. Dalam tempoh 2 minggu kesihatan ayah bertambah baik sebab ayah sangat kuat semangat.

Lama kelamaan ayah semakin sembuh, boleh berjalan seperti biasa, boleh memandu kereta ke mana-mana seperti biasa. Memang kalau tengok dari luaran ayah bukan pengidap strok dah pun. Tapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Penyakit tu hanya asbab sahaja.


28 Oktober 2020

Sehinggalah pada 28 Oktober 2020 ayah jatuh sakit semula. Terus tak boleh bercakap. Tak makan dan minum. Nak bawak ke hospital pun ayah taknak. Sampaikan panggil ambulans pun ayah masih berkeras taknak ke hospital. MA (medical assistant) yang datang tu pun nasihatkan untuk segera bawa ayah ke hospital dia risau takut jangkitan apa-apa di bahagian kepala bila dia tengok keadaan ayah tu.


29 Oktober 2020

29 Oktober 2020 seawal pagi kami bawa ayah ke hospital. Bermula la episod air mata mengalir tanpa henti. Cie masuk ke yellow zone Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lipis kerana dipanggil oleh doktor untuk menceritakan sejarah penyakit ayah. Cie pun memulakan cerita. Doktor pun mula buat pemeriksaan menyeluruh ke atas ayah. Waktu ni ayah hanya memejam mata, bila Cie panggil ayah celik mata sekejap dan pejam balik. 2 kali ayah muntah kat situ kelam kabut jugak la Cie nak uruskan nasib baik doktor dan semua staf sangat membantu.


Ayah perlu buat CT SCAN untuk dapatkan keputusan yang lebih jelas. Doktor ada la menerangkan apa yang mereka boleh buat dan minta persetujuan keluarga. So Cie pun hubungi semua adik beradik kami berbincang didalam group whatsapp sementara nak menunggu beberapa orang adik beradik yang masih belum sampai dari Perak, Penang dan Terengganu.

Doktor bagi pilihan sama ada nak biarkan saja atau nak intubate memandangkan faktor usia ayah. Selepas result CT SCAN diperolehi doktor bertanya lagi akan keputusan kami. Kami masih buntu nak buat keputusan yang terbaik untuk ayah. 2 orang doktor berjumpa kami dan menceritakan keadaan sebenar ayah. Keadaan ayah semakin membimbangkan. Doktor minta izin nak call kakak yang kerja nurse di Perak tu memandangkan dia lebih faham apa yang hendak dibuat. So kakak memilih untuk intubate ayah. Dia nak tengok ayah buat kali terakhir walau apa pun yang terjadi.

So doktor terpaksa akur dengan keputusan kami walaupun pada awalnya doktor tak galakkan untuk buat intubate sebab ianya amat menyakitkan Ayah. Tapi kakak terpaksa buat keputusan tu untuk bagi semua ahli keluarga sempat jumpa Ayah. Sanak saudara ramai dah sampai ke kecemasan. Semua nak tengok sendiri keadaan Ayah.

Sebelah petang doktor pindahkan ayah ke Critical Care Room (CCR), Kenanga 4A. Bila tengok ayah dalam keadaan macam tu perasaan kami hanya Allah yang tau. Hanya keajaiban saja dapat menyembuhkan ayah. Doa memang tak putus-putus untuk ayah.


30 Oktober 2020

Seawal pagi dah tercegat kat hospital. Wad pun call kata doktor nak jumpa. Doktor kata hari ni terpaksa buka tiub sebab nak bagi mesin tu kat orang lain yang lebih memerlukan. Doktor kata condition Ayah memang sangat tak ok apa-apa saja boleh berlaku. Kami redha jika Allah nak ambil nyawa Ayah. So doktor izinkan untuk semua jumpa Ayah dulu. Dalam pukul 2 lebih camtu doktor cabut tiub Ayah. Doktor hanya bagi kata 2 sahaja sama ada Ayah boleh survive atau Ayah akan terus pergi lepas buka tu. Alhamdulillah waktu tu Ayah masih boleh survive. Ayah boleh bernafas menggunakan oksigen biasa sahaja. Sebelah petang ayah dipindahkan ke wad Medical Male Kenanga 3A. Sedikit kelegaan sebab kat situ boleh jaga. Kat CCR tu tak boleh jaga hanya nurse dan doktor sahaja berada di situ. Bermula la episod kami bergilir-gilir menjaga ayah.Waktu ni keadaan Ayah stabil. Pergerakan kaki dan tangan juga ada. Bila panggil Ayah akan respond dengan kaki atau tangan. Kadang-kadang Ayah celik sekejap mata dia.


1 November 2020

Seperti biasa keadaan Ayah hanya biasa sahaja. Demam on off, darah tinggi dan kencing manis pun naik turun. Seperti biasa kami masih bergilir untuk jaga Ayah. Ada yang terpaksa balik dah sebab cuti tak panjang.


2 November 2020

Cie dah mula kerja hari ni. Dekat je office dengan wad so boleh la jenguk sekejap kalau ada masa. Office Cie Level 1, wad Ayah Level 3. Kakak yang jaga waktu tu. Cie pun nak uruskan proses untuk mohon katil khas untuk Ayah kalau dapat balik nanti Ayah perlukan katil tu. Borang pun dah ambil dari Pegawai Sosial Hospital cuma tunggu nak dapatkan memo perubatan dari doktor je. Selepas balik kerja Cie jenguk ayah sekejap dan balik rumah dulu. Selepas Maghrib tergerak hati kami adik beradik nak tunggu ayah bergilir-gilir. Waktu tu Ayah memang demam, darah tinggi naik. Ubat pun dah bertukar ganti. Bila kakak kata Ayah macam dah takde harapan lagi la kami taknak tinggalkan Ayah. Memang semua ada la dekat dengan Ayah. Bacaan Yassin untuk Ayah memang tak putus. Sampai la ke pagi kami disitu.


3 November 2020

Tengah malam keadaan Ayah semakin membimbangkan. Waktu ni Cie dah redha andai Allah nak ambil Ayah. Pergilah Ayah dengan tenang. Kami adik beradik memang disisi Ayah. Tekanan darah dari tinggi semakin lama semakin menurun. Allahuakhbar. Sampai la jam 7 lebih pagi camtu Ayah sangat tenang. Dengan perlahan-lahan malaikat cabut nyawa Ayah. Ayah disahkan meninggal pada jam 8.09am.
Pergilah Ayah berehat disana. Terlepas segala sakit perit Ayah selama ni. Damailah disana Ayah bersama-sama Mak.

Cie ada jugak buat coretan sebagai kenangan di Facebook Ayah dan Mak Tinggal Kenangan
Terima kasih Ya Allah kau kurniakan Ayah yang penyayang, bertanggungjawab, baik hati, tegas. Walaupun masa kecik takut dengan ayah. Kalau nak mintak duit mesti mak akan jadi orang tengah.Tapi sebenarnya Ayah sangat pemurah tak kira dengan siapa pun. Buktinya selepas Ayah dah tiada tak putus-putus orang sedekah duit untuk Ayah.

Tak dapat nak balas segala jasa Ayah membesarkan Cie, budi baik Ayah. Tak terbalas segala jasa dan pengorbanan Ayah selama ni. Walaupun Cie seorang anak yang sangat degil. Ayah suruh jadi cikgu, ayah siap beratur ambil borang kat Pejabat Pos. Cie pilih masuk politeknik. Rezeki dapat kerja selepas grad kalau tak sampai ke sudah akan menyesal tak ikut cakap Ayah.

Ayah seorang guru. Sampai ke akhir hayatnya orang masih panggil cikgu mat nor. Ayah nak anak-anak jadi cikgu, hanya seorang abang je ikut jejak. Banyak sebenarnya perkara yang mengecewakan Ayah.
Ya Allah, kurniakanlah ganjaran syurga Firdausmu untuk Ayah yang banyak berkorban membesarkan kami selama ini.

Ya Allah, gantikan penat lelah buat Ayah yang telah banyak berkorban membesarkan kami selama ini dengan setinggi-tinggi Syurgamu di sana.
Aamiin Allahumma Aamiin

3 November 2020
8.09am

Wad Kenanga 3A, Hospital Kuala Lipis, Pahang



2 comments: