Peria: Khasiat, Kegunaan dan Dua Resipi Mudah untuk Kurangkan Rasa Pahit

Peria atau nama saintifiknya Momordica Charantia ialah sejenis sayuran tropika yang mudah ditemui di Malaysia. Walaupun dikenali dengan rasa pahitnya, peria kaya dengan pelbagai nutrien dan manfaat kesihatan yang menjadikannya antara sayur berkhasiat tinggi. 

Peria biasa saiz besar dengan permukaan licin
Tinggal separuh je, semalam dah masak separuh


Di sebalik rasanya yang mencabar selera, peria telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional dan juga masakan harian. Kebetulan semalam dan hari ni Cie masak peria so Cie nak share jenis-jenis peria, khasiat, cara kurangkan pahit serta dua resipi mudah yang boleh dicuba di rumah.


Jenis-Jenis Peria


Terdapat dua jenis peria utama yang sering digunakan dalam masakan harian:
  • Peria Katak (peria kampung):
Berbentuk kecil, berbonggol kasar dan warna hijau tua. Rasanya lebih pahit, tetapi dipercayai lebih tinggi nilai perubatannya.

  • Peria Besar (peria biasa):
Saiz lebih besar, permukaan kurang berbonggol, berwarna hijau muda. Kurang pahit dan lebih sesuai untuk dimasak pelbagai jenis hidangan.


Khasiat Peria untuk Kesihatan


1. Kawalan gula dalam darah


Peria terkenal dalam kalangan pesakit diabetes kerana mengandungi sebatian charantin dan polypeptide-p yang membantu menurunkan paras gula darah secara semula jadi.


2. Tingkatkan sistem imun


Kandungan vitamin C dalam peria bertindak sebagai antioksidan yang membantu melindungi tubuh daripada jangkitan dan radikal bebas.


3. Membersihkan darah dan kulit


Dalam perubatan tradisional, peria digunakan untuk menyucikan darah serta membantu merawat masalah kulit seperti jerawat dan ruam.


4. Baik untuk pencernaan


Serat yang tinggi dalam peria membantu melancarkan sistem penghadaman dan mengelakkan sembelit.


5. Kurangkan kolesterol


Kajian menunjukkan bahawa pengambilan peria secara berkala boleh membantu menurunkan kolesterol jahat dan menyokong kesihatan jantung.


Cara Kurangkan Rasa Pahit Peria


Walaupun pahit, korang boleh amalkan beberapa teknik mudah untuk mengurangkan rasa tersebut:

  • Rendam dalam air garam: Hiris nipis dan rendam peria selama 15–30 minit, kemudian bilas.
  • Perah dengan garam kasar: Gaul dan ramas peria dengan garam, biarkan air pahit keluar sebelum dibilas.
  • Celur atau rebus sekejap: Kaedah ini mampu menyingkirkan sebahagian rasa pahit.
  • Gabung dengan bahan lain: Masakan bersama telur, bawang besar atau udang kering boleh menyedapkan dan menutup rasa pahit.


Dua Resipi Mudah Peria yang Sedap dan Berkhasiat


Walaupun ramai yang mengelak untuk makan peria kerana pahit, ia sebenarnya boleh dijadikan hidangan enak jika dimasak dengan betul. Cie share dua resipi ringkas yang boleh dicuba:


1. Kerabu Peria Ikan Bilis

Kerabu peria ikan bilis dengan hirisan bawang, cili dalam mangkuk putih


Kerabu ini sesuai dijadikan pembuka selera yang menyegarkan.

Bahan-bahan:
1/2 biji peria besar (dipotong 2 dan dihiris nipis)
1 sudu besar garam kasar (untuk rendam)
½ biji bawang besar (hiris halus)
3 biji cili padi (hiris)
Sedikit ikan bilis tumbuk

Cara penyediaan:
  1. Masukkan air dan garam ke dalam mangkuk. Rendam peria dalam air garam antara 15-30 minit.
  2. Tapiskan peria dan perah supaya dapat kurangkan air peria.
  3. Gaulkan peria, cili padi, bawang besar dan ikan bilis tumbuk.

Tips: Tak perlu tambah garam dah. Untuk rasa lebih sedap boleh gaul dengan hirisan serai dan perahan limau. Cie terlupa nak letak serai. Sebelum ni kalau buat kerabu peria letak serai hiris. Kalau taknak guna cili padi boleh gantikan dengan lada hitam tumbuk.


2. Peria Goreng Taucu


Hidangan ini membangkitkan selera dengan gabungan masin dan pahit yang seimbang.


Peria goreng dengan taucu



Bahan-bahan:
1/2 biji peria besar (dipotong 2 dan dihiris)
1 sudu besar garam kasar (untuk rendam)
1/4 biji bawang besar (hiris)
3 biji bawang putih (hiris)
1 sudu taucu
Minyak masak

Cara penyediaan:
  1. Masukkan air dan garam ke dalam mangkuk. Rendam peria dalam air garam antara 15-30 minit. Tapiskan peria.
  2. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan bawang besar hingga naik bau.
  3. Masukkan peria dan kacau rata. Biarkan seketika dan kacau sekali sekala hingga peria lembut.
  4. Masukkan taucu dan kacau rata. Siap.

Tips: Kena letak banyak sikit minyak dalam 1/4 cawan. So tak perlu letak air dah. Peria tu pun hiris nipis sikit supaya cepat masak.


Peria dalam Perubatan Tradisional


Dalam masyarakat Melayu, Cina dan India, peria digunakan sebagai herba semula jadi. Di antaranya:

  • Merawat masalah kencing manis
  • Meningkatkan pengeluaran susu ibu
  • Merawat masalah kulit seperti ekzema
  • Membersihkan darah dan hati


Siapa Tidak Boleh Makan Peria?


Walaupun peria bermanfaat, ada golongan yang perlu berhati-hati:

  • Wanita hamil: Elakkan pengambilan berlebihan kerana berisiko menyebabkan pengecutan rahim.
  • Pesakit hipoglisemia: Kandungan aktif dalam peria boleh menyebabkan paras gula terlalu rendah.
  • Kanak-kanak: Boleh diambil dalam kuantiti kecil kerana sistem penghadaman mereka masih sensitif.


Sayur Tradisional 


Dulu-dulu pun Cie tak suka peria. Kalau mak masak memang tak makan. Bila dah semakin dewasa dan tau manfaat peria ni terus la rasa nak cuba makan dan akhirnya dah suka makan. Selalunya Cie akan masak peria goreng taucu atau kerabu peria jela.

Zaman dulu orang tanam sendiri je peria kat belakang rumah. Bila nak makan petik je. Peria katak pun orang tanam sendiri. Boleh buat ulam. Cie makan ulam peria katak memang sedap. Walaupun pahit Cie suka.

9 Comments

  1. Peria goreng ala mamak tu sedap. Kalau ada kedai mamak...akak ratah gitu je.

    BalasPadam
  2. sis jarang makan peria.. yang sis biasa makan peria goreng telur dengan peria berlado..

    BalasPadam
  3. Taufik biasa peria ni buat goreng kerepek.....

    BalasPadam
  4. Dulu masa kecik2, x suka betul peria...bila dah besar ni...dah tua baru suka..sedap rupanya sayur Peria

    BalasPadam
  5. Kalau peria, suka rebus je cicah sambal. Tumis pun sedap. Tapi kerabu dan masak taucu tu tak pernah makan lagi. Pahit pahit sedap. Banyak juga khasiatnya.

    BalasPadam
  6. Akk suka peria... goreng campur udang atau telur sedap! Peria katak pula rebus cicah sambal belacan atau goreng tepung rangup2. Tak terasa pahitnya

    BalasPadam
  7. sedapnya periaaa....goreng tumis pecahkan telor pun sedap juga

    BalasPadam
  8. Nice...Sy suka peria katak..Peria ni bleh mkn jgk tapi kena potong nipis2 =)

    BalasPadam

Terima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.

Copyright © ROZIAH_CIE. Designed by OddThemes