12 September 2012 - 12 September 2026
Hari ini genap 14 tahun usia anak sulung ibu, Syafiyah Raisha.
Rasa macam baru semalam ibu dukung kakak Raisha masa kecil. Tup tup sekarang dah 14 tahun. Dah bukan budak kecil lagi. Dah masuk fasa remaja dan makin banyak benda dalam hidup yang dia mula faham sendiri.
Cepat betul masa berlalu.
Kalau tahun lepas ibu tulis tentang kisah panjang perjalanan mengandungkan dan melahirkan kakak, tahun ini ibu cuma nak simpan satu cerita yang lebih sederhana. Tentang seorang anak sulung yang sedang membesar di depan mata ibu.
Menjadi anak sulung, kakak sebenarnya seorang anak yang banyak memudahkan ibu dan babah. Dari kecil kakak bukan jenis yang banyak kerenah atau terlalu manja. Kakak pun senang dengar cakap dan tahu membawa diri. Sebab itu kadang-kadang ibu sendiri rasa bersyukur dikurniakan seorang anak sulung seperti kakak.
Sekarang bila dah semakin besar, ibu sendiri kena belajar untuk faham yang kakak bukan lagi budak kecil yang boleh ibu kawal setiap masa.
Kakak dah ada pendapat sendiri. Dah ada perkara yang kakak suka dan tak suka. Dah pandai buat keputusan sendiri dan semakin banyak perkara yang kakak nak buat dengan cara sendiri.
Kadang-kadang ibu tengok kakak dan terfikir, "Eh, bila masa anak ibu dah besar macam ni?"
Begitulah anak-anak.
Kita yang setiap hari tengok mereka membesar mungkin tak perasan sangat perubahan itu. Tapi sesekali bila tengok gambar lama, baru tersedar yang anak yang dulu kecil itu sudah jauh berubah.
Daripada seorang bayi yang ibu dukung, sekarang dah jadi seorang remaja yang boleh berdiri sendiri.
14 tahun juga bukan usia yang kecil.
Banyak lagi perjalanan kakak selepas ini. Masih panjang jalan yang perlu dilalui, banyak perkara yang perlu dipelajari dan banyak lagi pengalaman yang akan membentuk diri kakak.
Ibu tak mengharapkan kakak menjadi sempurna. Cukuplah kakak menjadi insan yang baik, tahu menjaga diri, menghormati orang lain dan sentiasa ingat kepada Allah.
Kalau ada masa ibu marah atau membebel, ketahuilah semuanya sebab ibu sayang. Kadang-kadang cara ibu tunjuk sayang mungkin bukan dengan ayat yang manis-manis. Ada masanya dalam bentuk nasihat, teguran dan bebelan yang panjang berjela.
Biasalah... ibu kan ibu.
Untuk anak sulung ibu, Syafiyah Raisha, selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-14.
Semoga Allah panjangkan umur kakak dalam keberkatan, dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan, diterangkan hati dalam menuntut ilmu dan diberikan kekuatan untuk menghadapi setiap cabaran dalam hidup.
Semoga kakak menjadi anak yang solehah, baik hati, sentiasa menghormati ibu dan babah serta menjadi kakak yang baik untuk adik.
Belajarlah bersungguh-sungguh dan kejarlah cita-cita kakak. Jangan takut untuk bermimpi besar, tetapi dalam masa yang sama jangan lupa untuk sentiasa merendah diri.
Ibu dan babah mungkin tak mampu berikan semuanya, tetapi kami akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk kakak.
Apa pun yang berlaku dalam hidup kakak nanti, ingatlah bahawa ibu akan sentiasa mendoakan kakak.
Happy 14th Birthday, Kakak Raisha!
Semoga usia 14 tahun ini membawa lebih banyak kebahagiaan, kebaikan dan perkara-perkara yang indah dalam hidup kakak.
Ibu, Babah dan adik sayang kakak selalu.







2 Ulasan
Tahu-tahu dah besar je kan, rindu kenangan zaman kecil dorang. Happy birthday kakak Syafiyah Raisha. Semoga membesar menjadi anak yang solehah. Dipanjangkan umur dengan segala kebaikan, dilimpahi rezeki dengan segala keberkatan, diberikan kesihatan yang baik, dipermudah segala urusan, cemerlang dalam perlajaran dan yang baik-baik untuk Kakak Raisha. Aamiin...
BalasPadamSelamat Hari Jadi kakak Raisha...
BalasPadamSemoga selalu dengar cakap ibu ye walau kakak dah bole bagi pandangan sendiri.. enjoy teenage life sbb ianya hanya sekali seumur hidup... 🥰🥰
Terima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.