Kalau anda peminat makanan tradisional Melayu, terutama nasi kerabu dan nasi dagang, kunjungan ke Kedai Makan Caparella Kuala Lanar memang wajib masuk dalam senarai.
Terletak di kawasan kampung yang damai di Kampung Kuala Lanar, Kuala Lipis, Caparella bukan sekadar kedai makan biasa. Tempat ini pernah menjadi lokasi penggambaran untuk drama oleh kumpulan Sepahtu suatu ketika dahulu. Maka tidak hairanlah kalau Caparella punya daya tarikan tersendiri dari sudut makanan dan sejarahnya.
Semalam, Cie dan keluarga berpeluang bersarapan di sini. Pagi itu, suasana kampung sungguh mendamaikan. Redup, sejuk dan nyaman. Kedai ni terletak di tepi sungai. Sambil makan boleh nampak air sungai mengalir di bawah bukit tepi kedai.
Di dalam kedai, sudah ramai pelanggan walaupun masih awal. Meja hampir penuh, menandakan betapa tempat ini memang mendapat tempat di hati pelanggan setia. Kedai ni memang terkenal di Lipis cuma Cie baru pertama kali datang makan di situ.
Pilihan Menu Sarapan di Caparella
Sarapan pagi kami memang menyelerakan dengan pelbagai pilihan:
1. Nasi Kerabu Ayam
Hidangan ini datang dengan nasi kerabu berwarna biru. Ayam bakar berempahnya, cukup rasa. Ulam-ulaman segar, sambal kelapa, budu dan keropok ikan melengkapkan kombinasi ini. Siapa yang suka rasa autentik nasi kerabu Pantai Timur, pasti puas hati. Cuma sambal kelapa je tak letak sebab anak-anak tak makan. Menu nasi kerabu ayam pilihan anak-anak. Ulam pun Cie yang makan.
2. Nasi Kerabu Daging
Pilihan lain yang tak kurang hebat, daging bakar diperap dengan rempah kampung, dibakar sempurna dan dipotong nipis. Aromanya membuka selera. Bila digandingkan dengan nasi kerabu, gabungan rasa pedas, masam dan berempah memang padu! Ni husband punya makanan.
3. Nasi Dagang Gulai Ayam
Nasi dagng ada pilihan sama ada gulai ayam atau gulai ikan tongkol. Nasi dagang dibuat daripada campuran beras wangi dan beras pulut, bertekstur lembut. Gulai ayam pula berkuah pekat, cukup rasa dan berlemak santan. Rasa rempahnya seimbang — sangat sesuai untuk sarapan tanpa rasa muak. Pilihan menu sarapan Cie. Pilihan Cie adalah gulai ayam. Tak suka ikan tongkol.
4. Sambal Paru
Antara pelengkap hidangan yang mencuri tumpuan ialah sambal paru. Paru dimasak garing, kemudian digaul dalam sambal merah yang pekat dan sedikit pedas manis. Teksturnya lembut di dalam tetapi rangup di luar. Rasa sambalnya meresap masuk ke dalam setiap hirisan paru. Menjadikan ia antara lauk paling cepat habis di meja jualan. Sesuai sangat digandingkan dengan nasi kerabu atau dimakan begitu sahaja. Husband cakap sambal paru mereka tu antara best seller. Patut la sedap.
Minuman Tradisional yang Menyegarkan
Untuk melengkapkan hidangan:
Teh O Ais – Dihidang dalam gelas biasa, teh dengan gula secukup rasa. Pilihan anak-anak.
Kopi O Ais – air kopi nya sedikit manis dan rasa kopi nya nipis saja. Bagi peminat kopi no belum cukup kaw. Air pilihan Cie.
Air Suam – Pilihan sihat untuk yang mahu ‘neutral’ selepas makan. Ni husband la yang order.
Minuman sampai cepat, walaupun pelanggan ramai. Staff Caparella sangat cekap dan mesra.
Suasana Kampung yang Damai
Kedai Caparella ini dibina di tepi lereng bukit yang ada aliran sungai dibawahnya. Ramai pelanggan datang bukan sahaja untuk makan, tetapi untuk mengimbau suasana yang tenang di dalam kawasan kampung.
Bahagian dalam kedai luas dan selesa. Pencahayaan semula jadi dan angin kampung buatkan suasana lebih santai. Tiada bunyi bising, hanya bunyi orang berbual perlahan.
Lokasi dan Akses Mudah
Kedai Makan Caparella terletak di Kuala Lanar, hanya sekitar 10 minit dari bandar Kuala Lipis. Jalan masuk mudah diakses, sesuai untuk mereka yang datang dengan kereta. Gunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk panduan tepat ke lokasi.
Boleh gunakan landmark Sekolah Kebangsaan Kuala Lanar. Simpang masuk ke Kedai Makan Caparella ni betul-betul berdepan dengan simpang sekolah tersebut. Kedai nya selepas jambatan kecil.
Tempat letak kereta disediakan di tepi jalan dan ruangnya cukup untuk pelanggan yang datang secara berkumpulan atau bersama keluarga.
Wajib Cuba Jika ke Kuala Lipis
Caparella Kuala Lanar bukan sekadar kedai makan. Ia adalah lokasi penuh nostalgia yang menghidangkan makanan sarapan Melayu asli. Gabungan nasi kerabu, nasi dagang, nasi lemak, pulut kuning dan layanan mesra menjadikan tempat ini destinasi yang patut anda kunjungi kalau berada di sekitar Kuala Lipis.
Kalau anda suka suasana kampung, makanan tradisional yang sedap dan pengalaman yang berbeza dari kedai makan moden, Caparella adalah pilihan terbaik.
7 Ulasan
Sy mmg suka sarapan pagi camni.. sbb tu kalau ke semenanjung mmg suka carik port bekfes
BalasPadamSeronok bersarapan di warung kampung, nostalgia. Akk pula kalau makan nasi dagang mesti nak regu dgn gulai ikan tongkol :)
BalasPadamBestnya lokasi dia, makanan pun sedap² ala² Pantai Timur. Lama tak makan nasi dagang, teringin la pulak.
BalasPadamwahhh lama rasa nya Taufik tak makan Nasi Dagang...sedap nya
BalasPadamTengok gambar paling bawah, lauk-pauk berkuah tu nampak sedaplah pulak.
BalasPadamNasi dagang tu favourite kita.. dapat pulak mkn dgn ayam percik huhuu...
BalasPadamTeringat masa beraya dekat rumah cikgu ni di Keningau dari tanah seberang..nasi kerabu first time makan ..sedap tau
BalasPadamTerima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.