Bila sebut petai ada yang suka, ada yang tak tahan baunya. Tapi siapa sangka, biji hijau yang beraroma kuat ni bila dijeruk, boleh jadi hidangan pembuka selera yang luar biasa sedap!
Cie beli petai ni dari pemuda orang asli yang dijual di tepi jalan je. Katanya beliau dari Pos Titom. Dalam 2-3 jam juga ke Lipis naik motor je. Dia jual seikat RM10. Seikat tu ada la dalam 5-6 keping. Cie beli 3 ikat dan dia bagi percuma seikat petai yang dijual RM5 seikat. Besar-besar mata petai tu.
Kat rumah Cie ni, Cie dan adik Rania je makan. Kakak Raisha dan babahnya tak makan. Adik Rania la request suruh Cie buat jeruk petai ni.
Jeruk petai bukan saja tahan lama, malah ada peminat setia yang sanggup makan dengan nasi putih dan sambal belacan saja. Tu pun dah membangkitkan selera.
Cie dah pernah buat sebelum ni. Masa tu kali pertama buat jeruk petai. Cie ada buat reels cara buat jeruk petai di Instagram.
Apa Itu Jeruk Petai?
Jeruk petai ialah petai segar yang direndam dalam larutan garam dan kadang-kadang bersama cuka atau air rebusan asam keping. Tujuannya untuk mengekalkan kesegaran petai supaya boleh tahan lama. Biasanya sehingga beberapa minggu kalau disimpan elok dalam peti sejuk.
Petai yang dijeruk ni akan berubah sedikit tekstur dan rasa. Tak selembut petai segar, tapi tetap rangup dan ada rasa masin-masin masam yang buat orang ketagih.
Cara Buat Jeruk Petai Tradisional
Prosesnya mudah saja. Bahan asas yang biasa digunakan:
- Petai muda yang segar
- Garam kasar secukupnya
- Air masak / air suam
Cara penyediaan:
- Rebus petai sehingga berubah warna.
- Sejukkan seketika.
- Selepas dah sejuk boleh keluarkan isi petai dari kulit.
- Rendamkan dalam air bersih untuk buang lendiran pada petai rebus. Kemudian toskan.
- Biarkan semalaman untuk keringkan air rebusan tu. Cie simpan dalam bakul berlubang dan tutup. Simpan dalam peti sejuk.
- Setelah semalaman boleh la mulakan proses menjeruk.
- Masukkan petai dan air ke dalam botol kedap udara. Isi air separas petai sahaja.
- Masukkan garam kasar.
- Tutup rapat dan simpan di dalam peti selama 2–3 hari sebelum dimakan.
Boleh letak cili padi kalau nak rasa pedas-pedas sikit.
Cara Nikmati Jeruk Petai
Jeruk petai boleh jadi pelengkap hidangan kampung. Sedap digandingkan dengan:
- Sambal belacan atau budu
- Nasi panas bersama ikan bakar
- Masak lemak cili api
- Atau sekadar dijadikan ulam cicah air asam
Bagi yang suka rasa masam-masin, jeruk petai ni memang pembuka selera terbaik.
Khasiat Petai Yang Ramai Tak Tahu
Selain jadi penambah selera, petai juga ada khasiat tersendiri. Antaranya:
- Tinggi serat — bantu lawas sistem pencernaan.
- Mengandungi zat besi dan vitamin C.
- Ada sebatian semula jadi yang membantu detoksifikasi badan.
Cuma kena ingat, makan berpada-pada. Bau kuat petai datang dari asid amino tertentu dan kalau makan berlebihan, boleh buat air kencing berbau untuk beberapa jam.
Petai dan Nostalgia Kampung
Bagi ramai orang, jeruk petai bukan sekadar makanan. Ia bawa nostalgia masa kecil tengok mak atau nenek duduk di dapur, hiris petai dan isi dalam balang kaca. Bau jeruk petai yang masin-masin tu seolah-olah tanda rumah kampung yang hidup dengan tradisi.

5 Ulasan
fav husband ni..kita tk mkn
BalasPadamMurah dan besar2 petainya. Pembuka selera ni
BalasPadamMZ tak mkn petai tp ni fav my arwah ayah
BalasPadamFuyyooo..Byk nih...FIL sy suka buat ni =)...Sy suka mkn yg fresh / yg dlm sambal =)
BalasPadamDulu tiap kali nak puasa arwah mak memang suka buat jeruk petai..ni macam dah lama tak nampak plak kewujudan petai jeruk kat rumah kak SA...sebabnya PZ dah x leh makan petai...
BalasPadamTerima kasih sudi singgah! Jangan segan-segan tinggalkan komen. Sila tinggalkan komen dengan bahasa yang sopan. Komen berunsur spam akan dipadam.